[SIDANG DUN Pulau Pinang] Tiada rancangan sekat penjualan arak seperti DBKL - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN Pulau Pinang] Tiada rancangan sekat penjualan arak seperti DBKL

ZAIRIL KHIR JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai perancangan untuk menghalang penjualan arak di negeri ini seperti yang dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, buat masa ini kerajaan negeri tidak membuat perancangan baharu atau apa-apa sekatan tambahan berhubung penjualan arak di kedai-kedai yang dibenarkan menjual minuman keras tersebut. 

Berhubung isu kemalangan yang disebabkan pemandu mabuk jelasnya, sudah terdapat undang-undang jalan raya sedia ada bagi kes sebegitu iaitu Seksyen 44(1) dan 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

“Setakat pengetahuan saya, buat masa ini kerajaan negeri tidak ada membuat apa-apa rancangan baharu untuk sekatan tambahan (penjualan arak). 

“Untuk kes seperti mana di DBKL, buat masa ini juga kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan untuk menghalang kedai-kedai yang dibolehkan menjual arak,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. 

Zairil (DAP-Tanjung Bungah) menjawab soalan tambahan Mohd. Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia mengambil langkah pencegahan dan kawalan penjualan arak seperti dilakukan DBKL. 

Terdahulu, Mohd. Yusni turut membangkitkan mengenai beberapa kejadian kemalangan melibatkan pemandu mabuk di negeri ini terutama yang menyebabkan kematian kepada pihak lain. 

Selain itu, beliau turut menarik perhatian yang mana Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor turut mengesyorkan semua negeri termasuk Pulau Pinang mencontohi langkah yang diambil DBKL. 

Bermula 1 November lalu, DBKL mula menguatkuasakan larangan penjualan arak (liquor) di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina selepas ditangguhkan selama sebulan. 

Bagaimanapun, penjualan bir oleh premis terbabit masih dibenarkan tetapi hanya bermula pukul 7 pagi hingga 9 malam seperti  yang terkandung dalam syarat baharu untuk permohonan Lesen Minuman Keras (LMK). 

Sementara itu, sewaktu mencelah berhubung isu sama, Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor turut mengesyorkan supaya hukuman kepada pemandu mabuk yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian ditingkatkan supaya lebih berat. 

Menjawab syor itu Zairil berkata, isu menambah hukuman menjadi lebih berat kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan terletak di bawah Kerajaan Persekutuan. 

“Begitupun kerajaan negeri tidak ada masalah jika perkara ini mahu diusulkan kepada Pusat kerana ramai yang menyokong supaya hukuman itu ditingkatkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya