[SIDANG DUN KEDAH] Kedah belanja RM12 juta pelihara, selenggara hutan - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN KEDAH] Kedah belanja RM12 juta pelihara, selenggara hutan

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah membelanjakan lebih RM12 juta bagi pemuliharaan dan penyelenggaraan hutan di negeri ini dalam tempoh tiga tahun sejak 2018 termasuk menanam semula hutan yang diteroka secara haram seluas 3,428 hektar.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, daripada jumlah perbelanjaan itu, sebanyak masing-masing lebih RM4.8 juta dibelanjakan pada 2020 dan 2019 manakala lebih RM2.5 juta lagi dibelanjakan pada 2018.

Katanya, keluasan hutan di Kedah adalah sebanyak 344,865 hektar iaitu 341,865 hektar adalah Hutan Simpan Kekal (HSK), cadangan Hutan Simpanan Kekal seluas 2,514 hektar dan tanah kerajaan seluas 455 hektar.

“Untuk memastikan hutan ini dipulihara kita melakukan kerja-kerja penanaman kawasan mengaya, restorasi hutan, tanaman dan rawatan pokok bakau, inventori hutan sebelum dan selepas tebangan dan mencuci sempadan Hutan Simpan Kekal.

“Selain itu, kita juga melakukan penyelenggaraan  Kawasan Hutan Bernilai Pemeliharaan Tinggi (HCVF) dan pembinaan tapak semaian serta bahan tanaman,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi (PH-Alor Mengkudu) pada sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini. 

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) juga akan memulihkan semula hutan yang dengan menanam semula pokok hutan bagi mengembalikan kelestarian alam di kawasan berkenaan.

“Saya difahamkan jabatan ini menyasarkan sebanyak 2.75 juta pokok ditanam di kawasan yang dikenal pasti di negeri ini dengan 550,000 pokok ditanam setiap tahun sehingga 2025 menerusi kempen penanaman 100 juta pokok seluruh negara.

“Ia bertujuan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah di negara kita diliputi pokok dan hutan,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN