MELAKA: Persoalan berkenaan berapa penjuru dan calon bertanding sudah terjawab, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menutup proses penamaan calon secara serentak di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN), pukul 10 pagi semalam.
Kini teka teki berhubung siapa calon Ketua Menteri Melaka Ke-13 pula bakal mengambil tempat dalam diskusi para pengundi, dari kedai kopi sehinggalah ke alam maya.
Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini terhimpit krisis kepemimpinan antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dilihat berjaya menyelesaikan masalah itu seawal hari pertama berkempen.
Ia susulan gabungan itu melalui Pengerusi Lembaga Penasihatnya, Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka menyatakan bahawa, hanya Sulaiman merupakan calon tunggal Ketua Menteri jika BN berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang keputusan rasmi diumumkan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) berhubung calon Ketua Menteri yang ditawarkan mereka.
Logiknya, PN hampir pasti akan mencalonkan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen.
Jika dinilai kelayakan, calon PN untuk kerusi DUN Telok Mas berkenaan jelas mempunyai merit, memandangkan beliau ialah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun, beberapa hari kebelakangan, berlegar spekulasi mendakwa, kononnya Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang bertanding di DUN Tanjung Bidara bakal mengisi portfolio tersebut sekiranya PN memperoleh majoriti.
Mengulas berkenaan perkara itu, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali menjelaskan, ura-ura sedemikian ‘tidak berpijak di bumi nyata’, memandangkan Pas selaku komponen PN tidak mungkin bersetuju dengan hal sedemikian.
Beliau berkata, perkhabaran itu juga mungkin hanyalah percubaan ‘tentera siber lawan’ untuk mencalarkan imej PN, lumrah berkempen dalam mana-mana pilihan raya.
“Kalau ikut kelayakan, Mas Ermieyati selaku pemimpin yang agak dikenali rakyat Melaka berkemungkinan ada merit untuk diangkat. Namun, memandangkan Pas adalah komponen PN, agak mustahil mereka akan bersetuju sekiranya itu benar.
“Jadi saya tak fikir PN akan mengambil langkah sedemikian, meskipun Mas Ermieyati agak kuat sokongan. Mungkin ia hanyalah serangan politik musuh terhadap PN, lumrah berkempen,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, setakat ini, hanya DAP sahaja yang secara terbuka mengangkat semula Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri PH.
Sebaliknya, sebelum ini Majlis Presiden PH hanya mengumumkan, melantik Adly bagi mengetuai jentera pilihan raya blok tersebut.
Beberapa calon lain seperti bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin juga antara nama yang disebut-sebut layak dipertaruhkan. -UTUSAN ONLINE











