fbpx

Semua pasukan guna taktikal sama – Mora

JURULATIH JDT, Benjamin Mora (kiri) bersama kapten, Farizal Marlias ketika sidang akhbar menjelang aksi akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.- UTUSAN/FARIZ RUSADIO

PETALING JAYA : Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora mengakui beliau sudah lali dengan taktikal semua pasukan apabila turun berdepan skuad Harimau Selatan termasuk apabila beraksi di final Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City (KL City), malam ini.

Mora menegaskan bahawa, JDT akan terus mencipta legasi dan menjadikan kemenangan adalah tradisi mereka dengan mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi mereka pada 2019, apatah lagi kejohanan itu memasuki edisi ke-100 tahun. 

Bagaimanapun, jurulatih dari Mexico itu memuji peningkatan yang ditunjukkan KL City sepanjang dibawah kendalian Bojan Hodak namun tidak rela melepaskan trofi itu kepada tangan lawannya.

“Ada nombor yang anda tidak boleh sembunyikan, sejarah tertulis tetapi hanya dalam ingatan dan saya tahu ini adalah perlawanan baharu dengan 90 minit berbeza.

“Kami tahu sejak Hodak mengambil alih KL (City), mereka telah mula menunjukkan peningkatan dan bermain secara tersusun serta memiliki set-piece yang bagus.

“Pasukan berbeza antara Kedah, Terengganu atau KL City tetapi semua taktikal tidak banyak perbezaan di mana bermain secara bertahan (keseluruhan pemain turun) dan melakukan serangan balas pantas,” katanya dalam sidang media, semalam.

Dikenali sebagai pasukan begitu agresif dan dibuktikan pada separuh akhir kedua dengan menjaringkan tiga gol dalam tempoh 14 minit ketika berdepan Terengganu, Mora bersedia melakukan perkara sama di pentas final.

“Kami akan terus bermain agresif dan mencari gol, untuk menang adalah menjaringkan gol. Kami datang ke final untuk menang,” jelasnya.

Mora turut memaklumkan bahawa beliau memiliki skuad terkuat dan tiada pemain yang mengalami kecederaan atau penggantungan kecuali Safiq Rahim.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!