fbpx

28 Januari 2022, 7:07 pm

  TERKINI

Sebak terima ijazah arwah adik

ALIMUDIN Mohd. Dom (dua dari kiri) dan Md. Amin Md. Taff (kiri) melihat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains Kejurulatihan) bersama ahli keluarga arwah Muhammad Raihan Mohd. Rashid selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-22 UPSI di Tanjung Malim, Perak, semalam. - IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Suasana hiba menyelubungi sesi terakhir majlis Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini semalam apabila waris kepada seorang graduan, Allahyarham Muhammad Raihan Mohd. Rashid naik ke pentas mewakili arwah menerima ijazah.

Muhammad Raihan yang berusia 25 tahun adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains Kejurulatihan) Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI dijadual menerima ijazah tersebut pada sesi keempat Selasa lalu, namun meninggal dunia pada Ahad lepas di rumah sewanya di sini.

Abang arwah, Muhammad Ridzwan, 26, yang menerima ijazah secara Anumerta berkata, sebelum itu adiknya ada menghubunginya mengadu mengalami batuk berdarah dan mendapatkan rawatan di Hospital Slim River, dekat sini.

“Selepas dikeluarkan dari wad, pada hari Jumaat keesokan dia mengajak rakan serumahnya bersiar-siar sehingga larut malam tanpa menyedari itu adalah permintaan terakhir arwah,” katanya semalam.

Menurutnya, sepanjang keluar bersama rakan-rakannya, adiknya tidak mahu makan sebaliknya hanya menjamah sesudu bubur nasi pada hari tersebut.

Katanya, keesokan harinya iaitu pada pagi hari Ahad, bapanya di kampung mendapat panggilan daripada rakan-rakan adiknya menyatakan arwah mengalami muntah darah dan sesak nafas.

“Selepas mendapat berita itu, saya yang tinggal di Kuala Lumpur ke rumahnya di Tanjung Malim. Namun doktor yang ke rumahnya mengesahkan arwah sudah menghembuskan nafas terakhir.,” katanya.

Sementara itu, sejurus selepas selesai majlis istiadat itu, Pro-Canselor UPSI, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom; Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin bertemu dengan ahli keluarga arwah di Dewan Tuanku Canselor.

Md. Amin mengucapkan takziah dan menyifatkan arwah seorang yang sangat aktif dan disenangi ramai pensyarah dan teman-temannya di UPSI.

“Arwah kerap menjadi ketua fasilitator menjayakan banyak program luar semasa pengajianya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI