AYER KEROH: Datuk Seri Sulaiman Md. Ali memaklumkan beliau sendiri pernah menolak kerja-kerja pengorekan pasir sepanjang 18 bulan menjadi Ketua Menteri Melaka.
Jelas beliau, perkara itu diputuskan setelah menerima penilaian Jabatan Perhutanan sekiranya kerja-kerja berkenan boleh memberi kesan kepada alam sekitar termasuk boleh berlakunya kejadian banjir.
Katanya lagi, aktiviti pengorekan pasir bukan satu perkara baharu malah pernah berlaku pada sebelum pentadbiran sebelum ini.
“Kes ini sudah lama. Saya baru sahaja jadi Ketua Menteri selama 18 bulan, malah projek ini lebih awal lagi iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Ada cakap-cakap mengatakan projek ini menyebabkan banjir, mengapa dahulu tidak ambil tindakan. Yang pegang lima tahun dan 22 bulan mengapa tidak buat? Mengapa hari ini baru hendak timbulkan? Ini semua politik.
“Saya selama 18 bulan sudah pun melaksanakan, ada juga saya batalkan kalau Jabatan Perhutanan tidak membenarkan. Mereka lebih arif dalam soal ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini timbul isu berhubung pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir laut susulan dakwaan seorang bekas wakil rakyat.
Pemimpin itu dilaporkan mendakwa projek mengorek pasir laut untuk menambak pantai di negeri ini harus disiasat kerana dipercayai berlaku penyelewengan oleh pihak tertentu. -UTUSAN ONLINE










