PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kira-kira 75 peratus daripada permohonan yang diterima bagi pensijilan halal dapat diselesaikan dalam tempoh maksimum 30 hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, tempoh tersebut bagaimanapun hanya dapat dicapai sekiranya semua syarat dan prosedur dipatuhi pemohon.
“Sasaran kita adalah 30 hari menyelesaikan permohonan pensijilan halal, namun dengan syarat mereka tidak menghadapi sebarang masalah serta mengikut apa yang telah kita tetapkan.
“Di dalam data kita, setakat ini sebanyak 7,498 syarikat yang aktif (memiliki pensijilan halal). Jadi tidak menjadi masalah pihak syarikat untuk mengikut manual prosedur yang ditetapkan oleh Bahagian Halal Jakim,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan pra pelancaran Persidangan Halal Kebangsaan atau Sidang Halal 2021 yang akan berlangsung pada 23 November ini di Kompleks Islam Putrajaya serta dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam pada itu, Idris berkata, berdasarkan pecahan syarikat dan pemain industri yang masih aktif memiliki pensijilan halal, sebanyak 3,028 syarikat dimiliki bumiputera, 4,278 syarikat bukan bumiputera, manakala 192 syarikat dimiliki warga asing tetapi beroperasi di negara ini.
“Pensijilan halal Jakim juga diterima di negara luar dan Malaysia meletakkan standard yang baik. Malah logo pensijilan halal ini juga dipercayai kerana ia bukan setakat halal semata-mata tetapi ‘halalan toyyiban’,” katanya.
Berhubung Pra Pelancaran Sidang Halal 2021, beliau berkata, ia signifikan dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pensijilan halal sebagai salah satu agenda penting dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada industri yang terkesan disebabkan pandemik.
Katanya, agenda pemulihan semula industri halal negara penting untuk digerakkan kerana ia adalah pemangkin kepada ketahanan ekonomi negara pasca Covid-19.
“Seramai 1,000 peserta dalam kalangan usahawan dan pemain industri di Malaysia disasarkan menyertai program yang julung kali diadakan ini berkonsepkan webinar dan ia merupakan kemuncak himpunan industri halal bersama Jakim selepas beberapa siri persidangan meja bulat diadakan pada tahun ini.
“Perdana Menteri semasa merasmikan Sidang Halal 2021 telah bersetuju melancarkan dua dokumen iaitu Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia atau lebih dikenali sebagai Malaysia Halal Management System (MHMS) 2020,” katanya.
Beliau menjelaskan, kedua-dua dokumen itu merupakan dokumen utama dalam pelaksanaan Pensijilan Halal Malaysia selain Malaysia Standard yang menjadi rujukan dan panduan kepada pihak industri dan pihak berkuasa berwibawa di Malaysia.
Tambahnya, beberapa usahawan terpilih akan diberikan anugerah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia sebagai penghargaan daripada pihak berkuasa berwibawa Pensijilan Halal Malaysia kepada industri halal yang menunjukkan komitmen tinggi untuk menjadikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia sebagai satu keutamaan dalam menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Sidang Halal 2021 bertemakan ‘Halal Malaysia: Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Negara’ melibatkan empat pembentangan dan kesemua usahawan, industri, ahli akademik, mahasiswa universiti dan masyarakat umum dijemput secara percuma melalui aplikasi zoom, Facebook Jakim dan Bahagian Hab Halal selain TV JAKIM yang akan menyiarkannya secara langsung melalui saluran Youtube.