Kulit bayi di Gaza ‘tertanggal’ akibat kekurangan nutrisi - Utusan Malaysia

Kulit bayi di Gaza ‘tertanggal’ akibat kekurangan nutrisi

MOHAMMED al-Mutawaq, bayi lelaki berusia 18 bulan terbaring lemah akibat kekurangan nutrisi susulan kebuluran di Gaza selepas rejim Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Di atas bumbung Universiti Al-Aqsa di daerah Mawasi, Khan Younis, Gaza, seorang ibu, Umm Mohammed al-Masri, hanya mampu mendakap anak lelakinya yang berusia tujuh bulan, Ramadan, yang kini tenat akibat jangkitan bakteria dalam darah.

Tubuh kecil Ramadan diselubungi demam dan luka melepuh di seluruh kulitnya, manakala panas yang terik serta kekurangan air bersih menambah penderitaannya.

“Anak saya akan mati dalam pelukan kerana air kotor dan tiada ubat. Doktor kata ia jangkitan bakteria dalam darah. Mereka cuba antibiotik, tapi tidak berkesan. Penyakitnya merebak ke seluruh tubuh,” katanya kepada agensi Anadolu dengan suara perlahan.

Keluarga itu kini hanya bergantung pada roti bersama dukkah, campuran gandum dan rempah—kerana susu, lampin dan air minuman bersih sudah tidak ada.

“Suami saya keluar setiap pagi mencari makanan, namun pulang dengan tangan kosong walaupun mempertaruhkan nyawanya,” katanya lagi.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 103 kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan sejak Januari, manakala 500 bayi kini mengalami masalah kekurangan nutrisi serius dan lebih 28,000 kes malnutrisi direkodkan tahun ini sahaja.

Sejak perang bermula pada Oktober 2023, serangan Israel telah meragut nyawa lebih 18,430 kanak-kanak dan 9,300 wanita, termasuk 8,505 ibu.

Keadaan menjadi lebih parah apabila pada 2 Mac lalu Israel menutup semua lintasan sempadan, sekali gus menghalang bantuan kemanusiaan daripada masuk ke Gaza.

Kini lebih dua juta penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal, hidup di khemah dan pusat perlindungan yang sesak serta terdedah kepada penularan penyakit manakala hospital pula lumpuh akibat kekurangan ubat, peralatan dan kakitangan perubatan yang keletihan.

Sejak Oktober 2023, tentera Israel meneruskan serangan kejam di Gaza meskipun menerima tekanan antarabangsa untuk menghentikan perang, dengan angka korban melebihi 61,700 penduduk Palestin.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang serta kemanusiaan di Gaza.

Israel turut berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan operasi ketenteraannya di wilayah tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN