Lepas satu suapan, terus rasa hendak datang lagi. Itulah perasaan yang tercetus sebaik sahaja menikmati pengalaman makan di Volcano Shabu-Shabu & Grill, salah satu lokasi makan yang makin menjadi sebutan terletak di Mercure Living Putrajaya.
Apa yang buat tempat ini lain daripada yang lain? Pertama sekali, setiap pelanggan disediakan pot shabu-shabu individu.
Tidak perlu berkongsi, tidak perlu tunggu giliran hendak celup bahan dan yang paling penting, boleh sesuaikan rasa kuah ikut cita rasa sendiri.
Konsep ini memang kena dengan gaya hidup sekarang, lebih selesa, lebih bersih dan lebih tenang. Namun, yang benar-benar mencuri perhatian adalah sos udang geragau.
Sos istimewa ini bukan sekadar pencicah, ia umpama kuasa utama yang menghidupkan seluruh pengalaman makan.

Rasa lemak udang yang pekat, sedikit pedas, ada kemasinan semula jadi dan sangat serasi dengan aneka pilihan daging, makanan laut dan sayuran.
Jarang jumpa sos macam ini di restoran gaya Jepun atau fusion. Pendek kata, sos ini boleh buat orang datang semula.
Saya cuba gabungan sos seperti yang dicadangkan oleh cef iaitu satu sudu bawang putih cincang yang dicampur dengan udang geragau serta sedikit sos barbeku dan juga sedikit daun ketumbar.
Rasanya pedas-pedas berlemak sangat sesuai dipadankan bersama kepingan daging dan ayam shabu-shabu.
Pilihan bahan pula memang meriah. Daging lembu, ayam, bebola, sotong, udang dan sayuran segar semuanya disusun kemas dan disediakan dalam kuantiti yang memuaskan.
Dari segi kuah pula, saya suka pilihan kuah tomyam yang memberi rasa sedikit pedas dan masam. Sesuai digabungkan dengan isi ayam dan pilihan makanan laut.
Bagi yang lebih suka gaya bakar, ada juga pilihan grill yang boleh digabungkan sekali dengan sesi rebus.
Dua gaya masakan dalam satu meja , memang sesuai untuk selera berbeza dalam satu keluarga. Paling penting, di sini ada sijil halal, jadi tidak perlu risau.
Lebih menarik, boleh makan salad segar di sini. Hendak makan baru petik di dalam pasu yang disediakan. Rasa segar sayur yang rangup dipadankan dengan sos caesar memang sempurna.
Suasana di sini juga tidak kalah menarik. Dengan ruang makan yang luas, susunan meja yang tidak bersesak serta pencahayaan lembut mencipta pengalaman makan yang tenang.
Tidak kisahlah datang waktu makan tengah hari atau makan malam, suasana tetap selesa dan tidak bising.

Selain shabu-shabu, banyak juga makanan lain yang tersedia seperti nasi putih dan lauk-pauk, pencuci mulut dan juga sushi. Dengan harga RM75 untuk individu, bagi saya ia sangat berbaloi.
Oh ya, sempena sambutan Merdeka dan Hari Malaysia, Mercure Living juga ada buat kempen Flavours of Malaysia yang menghimpunkan 14 menu dari 14 negeri.
Sous Cef, Zafarrullah Zaharuddin berkata, makanan tradisi yang disediakan menggamit memori anak rantau terhadap kampung halaman.
Dari Negeri Sembilan, ada salai lemak yang pekat dan pedas, cukup sinonim dengan identiti masakan Minang.
Dari Melaka pula, aroma ikan bakar Portugis yang penuh rempah cukup membangkitkan selera. Johor tidak ketinggalan dengan sup gearbox iaitu sup merah yang sedang tular dan digemari ramai, dengan rasa berempah.
Di bahagian Pantai Timur, seperti biasa, juara rasa datang dalam bentuk nasi dagang dan sotong percik.
Nasi yang dimasak sempurna, disuap pula bersama gulai ikan tongkol, memang kena dengan selera ramai.
Sotong percik pula dibakar sempurna kemudian disiram kuah percik bersantan yang cukup lemak.
Ada juga rasa dari Borneo iaitu nasi dabai dan ayam pansuh. Ayam pansuh dimasak dalam buluh teknik tradisional masyarakat Dayak yang jarang ditemui di luar Sarawak. Kuahnya wangi, menyerap aroma buluh dan rempah semula jadi.
Masakan utara pula menampilkan sup darat dari Perak, yang menggunakan perut, lidah dan daging lembu.
Sup ini nampak jernih, tetapi rasanya tetap padu.
Buat peminat mi udang, mi udang Pulau Ketam dari Selangor memang wajib dicuba.
Kuahnya direbus bersama kulit udang selama tiga jam untuk keluarkan rasa manis laut yang asli.
Chef Zafarrullah sendiri memilih hidangan ini sebagai antara kegemarannya kerana kuahnya yang pekat dan penuh perisa, hasil teknik yang teliti. – UTUSAN










