KUALA LUMPUR: “Sampai hari kedua masih terasa. Selepas kejadian itu terus letak ais, setakat ini tiada lebam cuma kesan sengal-sengal sahaja”.
Itu reaksi pelakon meningkat naik, Mzul Helmy, 27, berhubung insiden dilempang kuat oleh pelakon baharu, Ayu Ayuni ketika menjalani penggambaran dalam salah satu babak telefilem Rekah Dijari Kak Long arahan sutradara Shuhaimi Zulkefli.
Jelasnya, dia sudah menjangkakan perkara tersebut akan terjadi biarpun sudah praktis berulang kali.
“Walaupun sudah rancang tapi ada pergerakan yang tersilap. Menerusi rakaman video berkenaan ketika itu take one (aksi yang pertama).
“Tapi tidak mengapa, babak macam ini memang kita tidak boleh jangkakan. Lagi pun baik untuk karisma pasangan lakon agar saling mendalami watak yang dibawa.
“Pendek kata membantu dari segi lakonan dan emosi. Andai kata saya serik itu tidaklah, malah akan memberi saya motivasi untuk babak seumpama itu,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut mengenai watak yang digalas, anak jati kelahiran Kulim, Kedah, itu berkata, tuntutan emosi lebih berat berbanding watak-watak yang sebelum ini pernah dilakonkan.
“Emosi bercampur aduk, gembira, sedih dan penyesalan.
“Selain itu, beratnya watak ini apabila kesilapan kecil memberi kesan sangat besar untuk watak-watak dalam penceritaan telefilem ini. Senang cakap, fitnah yang dia buat,” katanya yang baru sahaja habis menjalani penggambaran terbitan Early Bird Productions Sdn Bhd bersama penerbit kreatif, Osman Ali.