SEPANG: Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza yang membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan dijangka mampu memanfaatkan kira-kira 100,000 penduduk di Palestin yang terjejas akibat konflik berterusan di wilayah berkenaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, misi berkenaan bukan sekadar inisiatif kebajikan secara peribadi mahu pun kumpulan tertentu, sebaliknya membawa mesej kemanusiaan kepada seluruh dunia.
Menurut Amirudin yang turut menggalas tanggungjawab sebagai ketua delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, misi kali ini bakal melibatkan penyertaan hampir 1,000 peserta dari kira-kira 100 negara yang akan bersama-sama menjayakan gerakan kemanusiaan tersebut selepas pelaksanaan misi pertama pada tahun lalu.
“Gerakan besar-besaran ini bukan hanya tertumpu kepada perhimpunan, forum atau program di negara masing-masing, tetapi kali ini kita cuba untuk sampai ke bumi Gaza dengan niat kedamaian, keamanan dan membebaskan saudara-saudara kita yang berada dalam kepungan.
“Ini bukan isu dua tahun kebelakangan ini sahaja, tetapi sudah berpuluh tahun saudara kita di sana memerlukan pembelaan segera,” katanya ketika berucap pada Majlis Flag Off Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, misi tersebut membawa bantuan kecemasan yang dihantar menggunakan kira-kira 30 kontena hasil sumbangan orang ramai, individu, syarikat, kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan yang dikelolakan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Jelasnya, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban penduduk Gaza selain membuka ruang kepada lebih banyak bantuan kemanusiaan yang sebelum ini tersekat akibat sekatan rejim Zionis.
“Saya percaya mesej ini adalah mesej kemanusiaan yang mewakili masyarakat dunia yang prihatin dan kita berharap usaha ini dapat membuka jalan kepada pembebasan Palestin yang dinanti-nantikan sekian lama,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan turut mengamanahkan pasukan misi untuk mengadakan hubungan dengan negara-negara terlibat termasuk beberapa negara Eropah bagi memastikan misi berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Tambahnya, antara fokus awal misi tersebut ialah penghantaran bantuan kecemasan melalui laluan darat, sebelum pelaksanaan misi global seterusnya yang akan digerakkan dari Barcelona dalam masa terdekat.
Media sebelum ini melaporkan, Amirudin akan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan delegasi GSF 2.0.
Amirudin juga dilaporkan akan mengetuai sidang khas di pintu sempadan Rafah untuk menyatakan tegas pendirian Malaysia terhadap isu kepungan Gaza, seterusnya memantau pelepasan delegasi Sumud Nusantara di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.
GSF 2.0 merupakan gerakan antarabangsa tanpa kekerasan yang menghimpunkan delegasi pelbagai negara bagi mencabar kepungan ke atas Gaza, menghantar bantuan kemanusiaan dan mewujudkan koridor bantuan awam secara berterusan.
Menurut laman rasmi gerakan itu, misi musim bunga 2026 akan menghimpunkan lebih 80 bot dan lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia, dengan pelayaran utama dari Barcelona pada 12 April ini. – UTUSAN










