Sabah terima peruntukan RM1.25 bilion di bawah KPLB - Utusan Malaysia

Sabah terima peruntukan RM1.25 bilion di bawah KPLB

MAHDZIR Khalid melakukan pelepasan peserta Ravo untuk melaksanakan program vaksinasi rumah ke rumah di Dewan Masyarakat Papar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Pembangunan prasarana di Sabah terus diberi perhatian oleh kerajaan pada tahun depan menerusi kelulusan peruntukan berjumlah RM1.25 bilion di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu menunjukkan peningkatan 6.25 peratus daripada peruntukan yang diterima pada tahun ini yang berjumlah kira-kira RM1.2 bilion.

Peruntukan itu membabitkan pelaksanaan 248 projek prasarana yang membabitkan pembangunan jalan luar bandar, bekalan air luar bandar (BALB) dan bekalan elektrik luar bandar (BELB) serta projek kesejahteraan rakyat seperti membaik pulih rumah serta membina baharu rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Bagi projek pembangunan tahun ini, kebanyakan peruntukan sedia ada sudah digunakan namun, masih ada projek yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya disebabkan pandemik Covid-19.

“Walau bagaimanapun, projek itu akan disambung pada tahun depan dan tidak dihentikan. Pada masa sama, projek baharu juga akan dimulakan pada tahun depan,” katanya semasa program walkabout ke Pusat Vaksinasi Bergerak rumah ke rumah hari ini.

Dalam majlis itu, Mahdzir turut melancarkan pasukan bergerak Operasi Vaksin Penilaian Pantas (Ravo) yang membabitkan tujuh unit pacuan empat roda dan sebuah van. Pasukan ini akan masuk ke 21 perkampungan di Papar selama seminggu sehingga 7 Disember, dengan sasaran 1,500 orang penerima vaksin.

Ketika ini kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa di daerah ini mencecah 76 peratus manakala, remaja pula 95 peratus.

Selain daerah ini, program Ravo anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi anak syarikatnya, MARA Liners Sdn Bhd ini turut menyasarkan tiga daerah lain iaitu Beaufort, Tawau dan Kinabatangan yang membabitkan tujuh ribu dos vaksin.

Menurut beliau, program vaksinasi bergerak itu merupakan usaha kementerian untuk memudahkan urusan logistik masyarakat tempatan untuk menerima vaksin.

“Keprihatinan KLPB dan MARA ini merupakan komitmen kementerian dan agensi kita dalam menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memastikan semua masyarakat di luar bandar khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis menerima vaksin sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Dalam lawatan itu, Mahdzir turut menyampaikan sumbangan pelitup muka, panel pelindung muka, cecair pensanitasi dan lima buah kerusi roda bagi kegunaan penerima vaksin di pusat vaksinasi Kampung Pengalat Besar.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Mohd Tamin Zainal; ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan; Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengarah KPLB Sabah, Johar Julasbi.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya