KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor supaya lebih lantang menuntut peruntukan lebih besar untuk Sabah demi membawa negeri ini keluar daripada garis kemiskinan.
Pengerusi Biro Kadazan Dusun dan Murut (KDM) Warisan Putatan, Mathew Yong berkata, Sabah tersenarai sebagai negeri termiskin di Malaysia namun, peruntukan pembangunan diterima masih lagi rendah.
Beliau berkata, Sabah menduduki senarai teratas sebagai negeri paling miskin dengan kadar kemiskinan sebanyak 19.57 peratus, berbanding 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional.
Daerah yang termiskin pula ialah Tongod, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Kota Belud, Beluran, Kudat dan Nabawan.
“Bank Dunia juga menyenaraikan Sabah sebagai negeri yang paling miskin di Malaysia pada 2009-2010 dan seterusnya menduduki tiga negeri tercorot selain Sarawak dan Kelantan.
“Maka, tidak adil jika Sabah hanya memperoleh peruntukan pembangunan berjumlah RM5.2 bilion sedangkan negeri-negeri yang lebih kaya seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang turut mendapat peruntukan yang hampir sama atau lebih tinggi.
“Bukankah sudah tiba masanya negeri-negeri kaya ini memberi sumbangan mereka kepada Sabah dan Sarawak. Kedua-dua negeri ini bersama-sama membentuk Malaysia sejak 58 tahun lalu namun, masih dianaktirikan sehingga sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mathew berkata, kerajaan Persekutuan harus membuktikan bahawa Keluarga Malaysia bukan retorik semata-mata. Maka, bertindak adil kepada Sabah kerana tanpa hasil disumbangkan dari Sabah dan Sarawak, pembangunan pesat tidak akan dikecapi di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu menuntut sehingga RM15 bilion untuk membolehkan Sabah menyelesaikan masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“GRS harus mempertahankan maruah dan martabat kaum-kaum di Sabah dengan menuntut peruntukan yang lebih besar untuk pembangunan kaum Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan Persekutuan memperuntukkan pembangunan kaum sebanyak RM10 juta kepada Sabah dan Sarawak pada pembentangan Bajet 2022, namum kaum Cina mendapat RM200 juta, India memperoleh RM145 juta dan Orang Asli menerima peruntukan RM247 juta.
“Jurang peruntukan ini begitu besar dan ia satu penghinaan kepada kaum-kaum yang ada di Sabah. Jadi sudah tiba masanya, Putrajaya melihat Sabah lebih daripada ‘negeri jajahan’ mereka dan Ketua Menteri Sabah sepatutnya tidak terlalu tunduk kepada kerajaan Persekutuan kerana masa depan Sabah terletak di tangan beliau,” katanya.- UTUSAN ONLINE










