ALOR SETAR: Seramai 60 pesawah di Hutan Kampung di sini, mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM100,000 selepas benih padi yang baru ditabur rosak dalam kejadian banjir yang melanda kawasan itu.
Banjir tersebut berlaku selepas hujan lebat kerap berlaku sejak dua minggu lalu sehingga menyebabkan benih padi itu ditenggelami air sedalam 0.5 meter.
Kebanyakan pesawah di kawasan Hutan Kampung A dan B itu mula menabur benih padi sejak awal Oktober lepas.
Seorang pesawah, Abd. Razak Bahari, 63, berkata, hujan lebat menyebabkan benih padi yang sudah ditabur tiga minggu lalu dihanyut air manakala benih yang sudah bercambah mati akibat terendam dalam tempoh lama.
“Masalah ini menyebabkan saya terpaksa membeli benih padi baharu untuk ditabur semula. Difahamkan, stok simpanan benih padi di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah habis dan terpaksa mengharapkan benih padi di kedai.
“Sebelum ini,saya membeli benih padi di MADA pada harga RM35 satu beg seberat 20 kilogram dan selepas ini terpaksa dibeli di kedai berharga RM40 hingga RM45 satu beg. Ini sudah pasti membebankan lagi pesawah,” katanya.
Abd. Razak memberitahu, masalah tersebut mungkin tidak berlaku sekiranya bekalan benih padi diagihkan lebih awal kepada pesawah memandangkan tarikh menabur yang ditetapkan oleh MADA adalah 15 September lalu.
“Saya berharap musim depan pihak yang membekalkan benih padi dapat mengatasi masalah ini supaya pesawah tidak akan menanggung kerugian seperti musim ini,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Mohammad Arsyad, 61, pula berkata, kejadian banjir di kawasan tersebut dipercayai berpunca daripada sistem pengairan yang tersumbat selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu. – UTUSAN ONLINE










