Royalti minyak: Tiga menteri Pas dalam Kabinet buat apa?

Royalti minyak: Tiga menteri Pas dalam Kabinet buat apa?

MOHAMAD Sabu menyempurnakan perasmian Konvensyen Amanah Kelantan Kali Keenam 2021 di Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - FOTO/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan tidak sepatutnya terkejut apabila Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Petronas tidak akan membuat pembayaran royalti petroleum kepada negeri ini atau mana-mana negeri lain.

Hal ini kerana, dengan lima wakil negeri ini dilantik sebagai menteri dan empat lagi sebagai timbalan Menteri, isu tersebut sepatutnya boleh diketahui lebih awal untuk dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.

Lebih tepat kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Kerajaan Negeri Kelantan mungkin perlu menuntut penjelasan itu daripada tiga pemimpin utama Pas yang berjawatan Menteri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka dimaksudkan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air; Naib Presiden, Datuk Seri Idris Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Menteri Tenaga dan Sumber Asli).

“Apa yang nak terkejut, ada berapa orang (menteri Pas dan wakil Kelantan) dalam Kabinet? Mereka buat apa? Sebarang keputusan dibuat dalam Kabinet atau pun kalau tahu kemudian, menteri masih boleh bangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Ada tiga orang menteri, pemimpin kanan. Ada Timbalan Presiden, ada Naib Presiden, ada Setiausaha Agung, tak perlu terkejut dan bising dalam surat khabar, sebaliknya bincang dalam Kabinet. Kalau kerajaan tak setuju, keluarlah Kabinet.

“Kenapa jadi macam itu? Saya fikir, ini barangkali tindakan politik ekoran peristiwa di Melaka, betul atau tidak betul, saya fikir Pas akan berusaha balik kepada UMNO, sebab dia tahu masa depan dengan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin kurang baik,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia selepas menyempurnakan perasmian Konvensyen Amanah Kelantan Kali Keenam 2021 yang turut dihadiri Pengerusi Amanah Negeri, Muhammad Hussin, di sini hari ini.

Dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan, sebaliknya dibuat dalam bentuk wang ihsan.

Semalam, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dilaporkan terkejut dengan jawapan itu manakala hari ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam satu kenyataan menuntut penjelasan lanjut daripada kerajaan Persekutuan.

Menurut Ahmad, Kerajaan Negeri Kelantan tetap berpendirian bayaran tunai adalah kaedah tepat berdasarkan peruntukan yang jelas dalam Perjanjian 1975 antara Petronas dengan kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×