Royalti minyak Kelantan: Lagi jawatan kuasa khas ditubuh? - Utusan Malaysia

Royalti minyak Kelantan: Lagi jawatan kuasa khas ditubuh?

TUAN Ibrahim Tuan Man meninjau Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi di Pasir Mas, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Pas mencadangkan Kerajaan Persekutuan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi mengkaji dan meneliti tuntutan royalti petroleum yang dibuat oleh Kelantan.

Ini berikutan pendedahan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Dewan Rakyat yang mengesahkan Petronas tidak membuat pembayaran royalti petroleum kepada negeri ini atau mana-mana negeri lain.

Bagaimanapun, ia bukan perkara baharu kerana satu jawatan kuasa khas berkaitan isu yang berlarutan sejak sekian lama pernah diwujudkan pada 2013 ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Ketika itu, jawatan kuasa tersebut dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed manakala Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fai-z Petra mewakili negeri ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebelum dibentuk,  jawatan kuasa bebas yang disyorkan pihaknya perlu mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Kata beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, paling penting, perbincangan isu tersebut perlu melibatkan Kementerian Kewangan.

“Ia untuk mengesahkan beberapa perkara seperti jarak (pelantar) dan masing-masing (kerajaan Pusat dan Kelantan) ada pakar. Selain itu, jumlah pengeluaran (minyak) juga perlu dibincangkan.

“Soal batu nautika dahulu tidak ada dalam perjanjian dan ini akan dilihat. Saya fikir jalan penyelesaian lebih mudah kerana kita (Pas) bersama Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai fakta masing-masing,” katanya  hari ini.

Terdahulu, beliau turun padang meninjau perkembangan terkini Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, di sini dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa   Kerja Raya, Insfrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azmi Mohd.Nor 

Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilapor memohon penjelasan lanjut daripada Kerajaan Persekutuan berhubung kenyataan Tengku Datuk Seri Zafrul mengenai pembayaran royalti petroleum.

Sementara itu, sebagai reaksi kepada isu tersebut, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu pula berkata, Kerajaan Negeri Kelantan mungkin perlu menuntut penjelasan itu daripada tiga pemimpin utama Pas yang berjawatan Menteri, termasuk Tuan Ibrahim.

Hal ini kerana, dengan lima wakil negeri ini dilantik sebagai menteri dan empat lagi sebagai timbalan Menteri, isu tersebut sepatutnya boleh diketahui lebih awal untuk dibangkit dan diperjuangkan dalam mesyuarat Kabinet. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN