PETALING JAYA: Sebanyak RM337,155 disumbangkan Institut Keusahawanan Negara (Insken) kepada 24 atlet negara yang terlibat dalam Program Bimbingan Usahawan Atlet sejak enam bulan lepas.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, atlet yang terlibat dibimbing oleh mereka yang berpengalaman luas dalam bidang perniagaan dan keusahawan bagi merangka strategi perniagaan lebih luas.
Katanya, terdapat dua kategori atlet negara yang dibantu kementeriannya menerusi Insken dalam Program Bimbingan Usahawan Atlet.
“Yang pertama usahawan atlet mempunyai idea perniagaan atau perniagaan sedia ada serta usahawan atlet yang tiada idea perniagaan. Kategori pertama adalah kumpulan peserta yang sudah mempunyai perniagaan dan memerlukan bimbingan lonjakan perniagaan ke skala seterusnya.
“Kategori kedua pula adalah kumpulan peserta yang ingin menceburi atau memulakan bidang perniagaan berkonsepkan pra-francais,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Antara atlet yang menyertai program ini ialah Alia Sazana Azahari (Atlet Menembak), Mohammad Aliff Mohamad Alwi (Atlet Para Olahraga), Ariffahmi Zaquan Ariffin (Atlet Para Tenis) dan Leong Mun Yee (Atlet Terjun).
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, pihaknya bersedia membantu lebih banyak golongan masyarakat tidak mengira latar belakang dan mengalu-alukan lebih banyak kolaborasi bersama kementerian mahu pun agensi lain. – UTUSAN ONLINE