Genosid di Gaza, PM Sepanyol desak EU batalkan perjanjian dengan Israel - Utusan Malaysia

Genosid di Gaza, PM Sepanyol desak EU batalkan perjanjian dengan Israel

PEDRO SANCHEZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, semalam menjadi pemimpin Eropah paling berprofil tinggi yang menyifatkan situasi di Gaza sebagai satu bentuk “genosid”, ketika pasukan penyelamat Palestin melaporkan seramai 65 penduduk terbunuh akibat serangan terbaharu oleh tentera Israel.

Konflik berdarah yang telah berlarutan lebih 20 bulan itu terus mengorbankan ribuan nyawa, manakala kumpulan hak asasi manusia memberi amaranlebih dua juta penduduk Gaza kini berada dalam kebuluran akut.

Israel hanya mula membuka semula laluan bantuan ke Gaza pada penghujung bulan lalu, selepas lebih dua bulan mengenakan sekatan ketat. Namun begitu, pengagihan bantuan tersebut seringkali bertukar menjadi kekacauan, dengan laporan harian menyatakan bahawa tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menunggu bekalan.

Dalam masa sama, Israel meneruskan serangan udara di Gaza atas alasan untuk menumpaskan pejuang Hamas, walaupun ramai mangsa yang terkorban terdiri daripada orang awam.

Berucap menjelang Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Sanchez menyatakan Gaza kini berada dalam “situasi malapetaka genosid”, dan menggesa EU segera menggantung perjanjian kerjasama dengan Israel.

Kenyataan itu menjadikan Sanchez antara pemimpin tertinggi Eropah yang paling lantang mengkritik Israel, serta antara yang pertama menggunakan istilah “genosid” secara terbuka bagi menggambarkan kekejaman di Gaza.

Menurut beliau, laporan EU menunjukkan terdapat “petunjuk kukuh” bahawa Israel telah melanggar kewajipan hak asasi manusia di bawah perjanjian kerjasama yang menjadi asas kepada hubungan dagang antara EU dan Israel.

Kenyataan tegas Sanchez itu mencetuskan kemarahan Israel. Kedutaan rejim Zionis di Madrid menuduh beliau “menggambarkan Israel sebagai syaitan” dan mendakwa bahawa Sepanyol “berada di pihak yang salah dalam sejarah.”

Sebagai tindak balas, kerajaan Sepanyol memanggil wakil kedutaan Israel dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai “tidak boleh diterima”.

Sementara itu, menurut Mohammad Al-Mughair, pengarah bekalan perubatan agensi pertahanan awam Gaza, seramai 65 orang penduduk telah terbunuh akibat serangan tentera Israel di wilayah itu semalam sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN