Rakyat Melaka diingatkan tidak tersalah pilih - Utusan Malaysia

Rakyat Melaka diingatkan tidak tersalah pilih

BUNG Moktar (kanan) bersama isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad (kiri) bersama anak-anak muda bermotosikal semasa program jelajah di kawasan DUN Telok Mas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan rakyat di negeri ini supaya tidak tersalah pilih calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Beliau berkata, rekod pencapaian yang ditunjukkan oleh BN selama ini cukup untuk membuktikan kemampuan parti ini dalam mentadbir dan menstabilkan politik di negara ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah ini berkata, BN sudah terbukti sebagai sebuah parti yang memiliki organisasi yang lengkap tanpa campur tangan parti lain.

“Kita tahu mereka (parti-parti lain) berusaha meniru cara pentadbiran BN namun, setelah mereka mentadbir negara berlaku kekerapan pertukaran kerajaan dalam tempoh singkat.

“Ini jelas menunjukkan kegagalan mereka mengemudi pentadbiran kerajaan ke arah yang lebih baik,” katanya selepas menghadiri sarapan pagi bersama Perdana Menteri di Kampung Alai hari ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disebabkan persepsi dan fitnah yang dilontarkan pihak lawan.

“Malah, perbuatan memfitnah dan melabel pemimpin BN dengan pelbagai gelaran masih berlanjutan sehingga kini dalam media sosial,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, calon-calon PRN seharusnya diberi kelonggaran untuk mengadakan ceramah bagi menjelaskan hala tuju masing-masing kepada pengundi di kawasan yang ditandingi.

Katanya, PRN kali ini agak mencabar tanpa sebarang ceramah politik mahupun kempen rumah ke rumah. Namun, perkara ini tidak menghalang BN selaku parti berpengalaman untuk meneruskan kempen mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Maka, jentera kita (BN) kena lebih agresif menjalankan kempen bagi menjelaskan kepada pengundi kenapa berlakunya PRN kali ini serta hala tuju BN sekiranya diberi peluang mentadbir Melaka,” katanya.

Hadir sama ialah calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya