Radzuan pandu kereta guna satu tangan, satu kaki

Radzuan pandu kereta guna satu tangan, satu kaki

MOHD. Radzuan Mohamad mampu memandu keretanya seorang diri walaupun hanya mempunyai satu tangan dan satu kaki. - FOTO/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun diuji hilang tangan dan kaki kanan akibat kemalangan tujuh tahun lalu, seorang bekas polis bantuan mampu memandu kereta seorang diri satu Malaysia hanya dengan sebelah anggota badan.

Kekurangan fizikal yang dialami oleh Mohd. Radzuan Moha­mad, 42, itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus memandu sekali gus belajar hidup berdikari.

“Selepas pulih dari kemala­ngan, jika mahu ke mana-mana adik saya yang akan memandu kereta.

“Tetapi disebabkan adik sambung belajar di Australia, kereta saya lama tersadai di rumah dan abang ipar beri idea untuk saya ubah suai kereta untuk digunakan orang kelainan upaya (OKU),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bandar Seri Sendayan, di sini semalam.

Jelas Mohd. Radzuan, dengan kos RM2,000 dia mengubah suai kereta Perodua Alza miliknya dan sejak itu dia kembali aktif memandu.

Mengakui pada awalnya sedikit gementar kerana lama tidak memandu, atlet paralimpik sukan boling padang itu berkata, dia mengatasinya dengan cara me­nyertai kelab kereta.

“Bila kita yang dulunya normal dan sekarang OKU terpaksa duduk di rumah lama-lama boleh jadi murung dibuatnya.

“Adik sepupu kemudian sarankan saya sertai kelab kereta dan sejak itu setiap tahun saya sertai konvoi di pelbagai negeri,” katanya.

Mohd. Radzuan yang mesra dipanggil Along berkata, apabila menyertai kelab kereta, dia rasa lebih selamat kerana mudah untuk meminta bantuan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Mengimbau semula ujian besar yang dilaluinya, Mohd. Radzuan mengakui pada mulanya bukan mudah untuk menerima kenya­taan dirinya tidak seperti dahulu, namun dia reda dengan ketentuan tersebut yang membuatkannya lebih kuat.

“Ketika kemalangan pada 22 April 2014, saya dalam perjalanan menaiki motosikal ke tempat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dekat Bengkel Seri Sembilan, Mambau.

“Saya bertugas sebagai polis bantuan KLIA2, dalam kejadian pada pukul 5.45 pagi itu motosikal saya dirempuh oleh kereta dan lori menyebabkan lutut siku hancur dan rusuk patah empat,” katanya yang berasal dari Kampung Bemban di sini.

Jelas Mohd. Radzuan, akibat kemalangan itu dia terlantar di Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban selama dua bulan dan kemudiannya dipindahkan ke wad biasa.

“Bila bangun lihat keadaan diri, saya reda, Allah bagi ujian hanya yang tabah dapat menerima tetapi tidak semua orang memahami keadaan saya.

“Selepas bangkit semula dengan sokongan keluarga dan menjalani rehabilitasi untuk OKU, saya nekad menjalani kehidupan seperti biasa serta mula boleh bergerak sendiri untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia bersyukur kerana sepanjang melalui ujian itu keluarganya banyak membantu proses untuk pulih.

“Saya reda dengan apa terjadi. Tapi percayalah ia bukan mudah, apa-apa pun saya gembira dengan kehidupan dilalui sekarang dan insya-Allah saya akan langsungkan perkahwinan bulan depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN