MELAKA: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengesahkan hanya menghantar lima calon untuk bertanding dalam PiIihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbanding cadangan awal iaitu 13 calon.
Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk bertanding lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah diperhalusi mendalam oleh Biro Politik dan Majlis Tertingginya.
Katanya, lima kerusi berkenaan ialah Pengkalan Batu, Gadek, Duyong, Sungai Rambai dan Paya Rumput.
“Pengerusi Putra Melaka, Dr. Mohd Aluwi Sari antara lima calon bertanding dalam PRN kali ini dengan beliau bertanding di kerusi DUN Pengkalan Batu.
“Selain itu, calon-calon lain adalah wanita, belia selain golongan profesional seperti usahawan. Paling utama calon-calon diketengahkan ada bersih dan bermoral tinggi serta mempunyai aspek pendidikan dan ilmu.
“Malah komitmen dalam mendukung perjuangan Putra sebagai parti alternatif kepada umat bumiputera dan orang Melayu serta rakyat Malaysia secara umumnya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Ibrahim mengakui wujud cabaran dalam PRN Melaka kali ini dengan SOP ketat sekali gus tidak memberi ruang kepada pihaknya untuk berkempen secara bersemuka.
Namun menurut beliau, tidak mustahil Putra boleh mengecapi kemenangan walaupun menghadapi SOP tidak boleh berkempen seperti mana kebiasaan pilihan raya sebelum ini.
“Insya-Allah kita boleh mendaki dalam PRN ini,” katanya. – UTUSAN











