PRN Melaka ‘makmal’ untuk baca sikap - Ahmad Yakob

PRN Melaka ‘makmal’ untuk baca sikap

AHMAD YAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ibarat satu makmal bagi Pas untuk ‘menguji’ segala kemungkinan sebelum parti itu membuat persiapan berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, parti itu akan menentukan hala tuju dan strategi untuk menghadapi PRU-15 selepas membaca ‘sikap’ ditunjukkan pelbagai pihak dalam PRN Melaka.

Keputusan PRN Melaka kelak kata beliau, turut memberi gambaran bentuk kerjasama politik bagaimana yang mampu membantu parti itu meraih kejayaan dalam PRU-15.

Memuatkan artikel berkaitan…

“PRN Melaka ini pada saya satu makmal untuk kita lihat segala kemungkinan. Kita tidak tahu lagi jawapan macam mana tetapi keputusannya kelak petunjuk terbaik untuk menjadi landasan kepada PRU-15.

“Walaupun masih dalam pandemik, kita harap rakyat keluar mengundi dengan mematuhi segala SOP. Kita harap pengundi tidak sia-siakan kerana setiap orang ada tanggungjawab untuk buat pemilihan dan kita akan baca sikap ini untuk menghadapi PRU-15 nanti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat, di sini hari ini.

Terdahulu, Roslan Ismail, 49 dan Mohd. Hashim Mustapa, 55, masing-masing dinobatkan sebagai Tokoh Aktivis Belia Kelantan serta Tokoh Belia Harapan Sukan, sekali gus membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM5,000 setiap seorang.

Ahmad berkata, anugerah diperkenalkan sejak 1988 itu bertujuan untuk mengiktiraf serta memberi penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan belia di Kelantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×