MELAKA: Calon termuda Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Farzana Hayani Mohd. Nasir merancang untuk terus melanjutkan pengajian dalam bidang penyiaran, walaupun kini telah melibatkan diri secara serius dalam dunia politik.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai itu berkata, beliau tidak pernah mengetepikan pencapaian akademiknya, malah, keputusan yang diraih sebelum ini juga memuaskan.

Katanya, setakat hari kelima berkempen, beliau telah membahagikan aktiviti hariannya merangkumi sesi untuk turun padang bertemu rakyat dan pengajian sarjana muda yang diambil di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
“Saya sudah terbiasa dengan kehidupan menjadi seorang pelajar dan dalam masa sama terlibat dalam aktiviti menyantuni rakyat kerana sejak sekolah menengah lagi saya telah mengikuti ayah, yang merupakan seorang Naib Ketua Cabang Tangga Batu melakukan program kemasyarakatan.
“Jadi, pembahagian masa antara menjadi seorang penuntut dan calon bukanlah satu masalah besar bagi saya. Saya tahu membahagikan masa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jeti Nelayan Sebatu, di sini semalam.
Mengulas mengenai kenyataan saranan Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor yang menasihati pelajarnya supaya menghabiskan pengajian terlebih dahulu sebelum menerima tawaran menjadi calon mana-mana parti politik, beliau memahami keprihatinan yang disampaikan.
“Sebelum membuat keputusan menjadi calon, saya telah mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak termasuk pensyarah di universiti dan semuanya memberikan semangat serta keyakinan kepada saya untuk merebut peluang yang tiba.
“Bagi saya, tidak ada masalah untuk saya melibatkan diri dalam politik meskipun sedang menyambung pengajian kerana pengalaman lalu telah mengajar saya untuk membahagikan masa dengan baik,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik. – UTUSAN










