PUTRAJAYA : Hukum prank atau gurauan dalam Islam dibolehkan selagi mana gurauan tersebut tidak melampau dan boleh diterima oleh orang yang diajak bergurau.
Itu penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berhubung hukum prank yang kini dikesan berleluasa di media sosial khususnya yang dimuat naik oleh pempengaruh atau influencer tempatan.
Bagaimanapun, PMWP turut mengingatkan kepada semua bahawa jika prank itu dilihat melampau maka ia adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya.
“Sekiranya gurauan tersebut melampau seperti menipu orang lain, menakut-nakutkan, membuka aib pada orang ramai, dan tidak boleh diterima oleh orang yang diguraukan maka ia adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya.
“Tambahan lagi, video prank yang dirakam tersebut di muat naik dalam media sosial dan akan ditonton oleh pengguna-pengguna lain, sekali gus menyebarkan aib seseorang yang menjadi mangsa.
“Oleh itu, dinasihatkan agar mengelakkan daripada menghasilkan video-video atau kandungan prank sedemikian yang boleh menjatuhkan maruah orang lain dan menyebarkan aibnya kepada masyarakat umum,” katanya.
Penjelasan panjang lebar mengenai hukum prank dalam Islam boleh dilihat menerusi artikel Irshad Al-Fatwa Siri Ke-566: Hukum prank dalam Islam yang dikongsi PMWP menerusi laman sesawangnya.
Menurut PMWP lagi, pempengaruh juga dinasihatkan supaya menyediakan video-video atau kandungan yang boleh memberi manfaat kepada penonton dan boleh memberikan pengajaran.
Tinjauan di media sosial termasuk Youtube mendapati, ramai pempengaruh tempatan mencipta video prank menerusi rangkaian media sosial mereka bagi menarik perhatian warganet dan perkara itu semakin menjadi-jadi.
Hasil daripada tontonan tersebut, pemilik video akan memperoleh pengikut-pengikut baharu dan juga boleh dibayar oleh Youtube atas capaian dan tontotan yang tinggi tersebut.
Oleh kerana itu, makin ramai yang menghasilkan video-video berunsurkan prank ini untuk mendapatkan tontonan yang tinggi dan sekali gus mendapat hasil pendapatan darinya. -UTUSAN ONLINE










