GEORGETOWN: Operasi pencegahan jenayah bersepadu di Pulau Pinang akan dijalankan pada setiap hujung minggu bagi mengurangkan kadar jenayah di negeri ini terutama selepas rentas negeri dibenarkan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, operasi yang dijalankan itu melibatkan pemantauan dan pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan ke atas semua premis yang beroperasi di beberapa kawasan tumpuan orang ramai.
“Antara lokasi yang kita jalankan operasi adalah di sekitar Padang Kota Lama; Weld Quay; Persiaran Karpal Singh; Queensbay; Auto City/ Icon City; Design Village, Penang Times Square dan Midlands Park.
“Hasil pemantauan dan pemeriksaan mendapati pengunjung-pengunjung masih lagi mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.
Operasi berkenaan turut disertai Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh dan beberapa pegawai serta ketua jabatan dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Menurut beliau, tiada kompaun dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 10 malam hingga 2 pagi tadi.
“Tiada kompaun dikeluarkan dalam operasi tersebut, hanya melibatkan pemeriksaan dan memberi nasihat sahaja,” katanya.










