PN terdesak kaitkan malaikat dalam kempen - Utusan Malaysia

PN terdesak kaitkan malaikat dalam kempen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tindakan seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang mengaitkan malaikat dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dianggap keterlaluan dan terdesak.

Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, gabungan parti itu juga dianggap semakin hilang arah apabila menjaja kononnya malaikat tidak marah sekiranya rakyat mengundi PN.

“Dahulu kala, undi satu parti masuk syurga. Dahulu kala juga ada parti mendakwa malaikat bersama mereka menewaskan musuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di PRN Melaka pula nama malaikat juga mula dijaja lagi. Malang sekali, malaikat yang suci dijaja namanya bagi meraih undi. Nama malaikat diiklan bagi mempengaruhi minda, agama kembali jadi bahan dagangan. 

“Malaikat yang ‘tidak berpolitik’ menjadi mangsa kerakusan lidah tidak bertulang. Mungkin ini  ‘nasihat’ strategi dari rakan strategik PN, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, pemimpin dan parti berkenaan perlu mencari strategi lebih bijak daripada mengaitkan malaikat dalam kempen mereka.

“Alangkah daifnya mereka yang masih menjaja nama kesucian malaikat hanya kerana undi dan kuasa tetapi apabila mereka berkuasa lupa menjadikan agama sebagai panduan pemerintahan.

“Hentikan mainan menjaja nama agama dalam politik. Berulang kali modal terdesak ini digunakan berulang kali jugalah pengundi akan menolak dan ingatlah rakyat Melaka terutamanya rakyat yang beragama islam sudah bijak menilai,” katanya.

Terdahulu tersebar di media sosial rakaman video dipercayai seorang pemimpin PN berucap untuk kempen PRN tersebut yang mendakwa pengundi di Melaka yang memangkah PN tidak dimarahi oleh malaikat.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×