MELAKA: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan partinya telah jauh kehadapan dalam membuktikan integriti berbanding parti lain dengan pemeteraian aku janji menentang rasuah yang ditandatangani 28 calon semalam.
Pengerusi PN negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, usaha itu sudah cukup membuktikan keberanian serta iktikad PN dalam memastikan sebuah kerajaan negeri bebas rasuah dapat dibentuk sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
“Saya lihat, usaha PN ini agak keterhadapan berbanding pihak lain apabila PN ambil pendekatan mengadakan satu ikrar dalam memastikan kita dapat mentadbir kerjaaan Melaka yang jauh daripada aktiviti rasuah.
“Setakat permulaan ini, itu sudah memadai untuk PN berbanding parti lain, apa komitmen yang ditunjukkan mereka?,” soalnya ketika ditemui pemberita di Telok Mas di sini hari ini.
Terdahulu, kesemua 28 calon PN yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini, selesai menandatangani aku janji menentang rasuah.
Majlis menandatangani dilaksanakan di Bilik Gerakan Utama (BGU) PN di Tanjung Minyak di sini dan disaksikan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, aku janji itu juga secara langsung menzahirkan komitmen PN untuk menjadikan Melaka sebuah negeri yang maju dalam pembangunan.
“Kita tahu di mana rasuah ini musuh negara dan ia akan berikan kesan negatif bukan sahaja kepada rakyat, tetapi pembangunan.
“PN adalah parti pertama yang menunjukkan stand (pendirian) yang baik, menampakkan kita telus dan mahukan kerajaan yang integriti sebaik sahaja diberikan mandat,” jelasnya.
PN bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan daripada jumlah berkenaan, Bersatu bertanding di 15 kerusi, Pas (lapan kerusi) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) (lima kerusi).











