ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) kehilangan undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akibat jelik pengundi terhadap penerimaan ‘katak-katak politik’ dalam gabungan parti itu.
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Perikatan Nasional (PN) pula hanya bergantung kepada undi asas Pas untuk meraih dua kerusi dalam PRN itu.
“Strategi serangan politik sentuh peribadi yang melampau terhadap pemimpin UMNO memakan diri. Ini semua kerana defisit kepercayaan oleh pengundi kesan janji PRU-14 yang gagal, tabur pula janji baharu.
“Mereka tiada prinsip apabila menerima calon lompat menyebabkan pengundi jelik selain perpecahan dengan DAP. Rekod calon yang kurang memberi khidmat dan muka baharu yang hanya kosmetik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, strategi Barisan Nasional (BN) yang menggandingkan barisan calon muka baharu dan lama yang berpengalaman sebagai satu pasukan dilihat memberi impak berkesan kepada penilaian kepada rakyat.
“Pandangan pertama yang cukup positif dipersembahkan kepada pengundi. Boleh dikatakan ‘pasukan impian’ baharu BN seiring zaman. Selain itu kerja kuat kepimpinan dan jentera parti yang bertungkus lumus membuahkan hasil.
“Ditambah pula dengan ‘faktor wow’ Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, BN dilihat stabil dengan pasukan serta manifestonya yang jelas serta mudah difahami, berbanding PN dan PH yang saat akhir baru umum calon Ketua Menteri kerana tak ada calon yang berwibawa,” katanya.
Bagaimanapun katanya, UMNO dan BN tidak boleh selesa dengan kemenangan itu sebagai asas menuju PRU-15 disebabkan peralihan undi hanya melibatkan tiga peratus berbanding undi PH.
“Rakyat akan terus memerhatikan sejauh mana Akujanji BN Melaka bakal dilaksanakan dan kemenangan ini perlu dianggap sebagai beban tanggungjawab yang perlu dibuktikan bukan sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan dan bersikap angkuh.
“Tambahan pula peratusan keluar mengundi hanyalah 65.85 peratus,” katanya.