MENJADI menantu perempuan bukan sekadar mengurus rumah tangga dan suami, tetapi juga belajar memahami ibu mentua.
Ini terutamanya, ibu mentua yang baru sahaja kehilangan suami atau pasangan.
Kehilangan itu meninggalkan kesan mendalam, rasa sunyi, takut ditinggalkan dan keperluan untuk terus disayangi dan diberi perhatian oleh anak-anak .
Di sinilah menjadi ujian buat menantu perempuan. Ujian kesabaran, keikhlasan dan kebijaksanaan menguruskan emosi.
Tidak mudah berada di tengah-tengah, mahu berlapang dada sebagai menantu, dalam masa sama mahu dihargai sebagai isteri.
Minggu ini saya kongsikan kisah rumah tangga Ika, (bukan nama sebenar) yang pernah diuji mempunyai ibu mentua yang sentiasa mahukan lebih perhatian daripada anak menantu.
Menurut Ika dalam kiriman emelnya kepada saya baru -baru ini menulis, ibu mentuanya seorang yang baik, namun ada satu perkara yang perlahan-lahan menguji kesabarannya sepanjang lima tahun berumahtangga.
Tulis Ika, ibu mentuanya seorang ibu tunggal yang kematian suami. Selepas pemergian suami, sikap ibu mentua banyak berubah. Dia semakin menagih perhatian pada anak menantu.
“Saya cuba untuk tidak meletakkan perasaan cemburu terhadap layanan berlebihan suami pada ibu. Saya cuba belajar untuk memahami keperluan emosi ibu. Saya faham ibu mentua sebenarnya kesunyian, takut kehilangan tempat bergantung dan kasih sayang anak-anak,
“Namun siapalah saya. Saya hanyalah manusia biasa yang sekali kala goyah dengan ujian tersebut,” ujarnya.
Menurut Ika, tujuan dia berkongsi kisah ibu mentua bukan berniat untuk membuka aib keluarga sendiri.
Sebaliknya, sebagai pengajaran memahami kesedihan ibu itu penting, tetapi kehormonian rumah tangga sendiri juga perlu dijaga.
Menurut Ika, ibu mentua yang mahukan perhatian itu satu hal, namun lebih bermasalah suaminya yang gagal menyeimbangkan tanggungjawab sebagai seorang anak dan sebagai suami dan bapa.
Suaminya, Shakir, (bukan nama sebenar), terlalu memberi perhatian kepada ibu , sehingga isteri dan anak-anak berasa dipinggir dan tidak dihargai.
Sambungnya, dia bersyukur selepas hampir setahun bersabar, akhirnya suami sedar dengan sendiri akan kesilapannya dalam berbagi kasih.
“Suami mula belajar menyusun keutamaan. Jika sebelum saya banyak menguruskan anak-anak, kini saya rasa dilindungi, dihargai dengan kehadirannya setiap kali ada urusan berkaitan anak-anak.
“Sebagai anak, suami tetap berbakti kepada ibu, tanpa mengurangkan sedikitpun kasih sayang. Saya bersyukur kerana kakak-kakak ipar sangat memahami dan turut membantu kami dalam proses penyesuaian tersebut ,” tulisnya.
Menurut Ika lagi, setiap permintaan ibu yang tidak munasabah, suami cuba menolak lembut. Mengelak, bukan membantah.
Bercerita lebih terperinci tentang sikap ibu mentuanya, tulis Ika, hampir setiap hari pasti ada perkara yang ibu mahu kongsikan. Ibu mengadu sakit, sunyi dan terasa hati dengan anak-anak.
“Saya melihat suamilah yang paling tersepit kerana suami satu-satunya anak lelaki tunggal ibu. Suami sering tersepit antara tanggungjawab sebagai anak lelaki dan suami serta bapa kepada anak-anak,” tulis Ika.
Katanya, sikap suami yang terlalu berlebihan memberi perhatian kepada ibu kadang kala membuatkan dirinya berasa tidak dihargai.
Menurut Ika, sepanjang tempoh itu dia tidak menuntut suami mengabaikan ibu kandung, tetapi mengharapkan keadilan dalam perhatian dan keputusan.
Menyambung cerita kata Ika, sebagai menantu dia sedaya upaya untuk memahami keadaan ibu mentua, namun semakin lama semakin jelas sikap ibu mentua yang sukar diterima.
Ibu mentua juga suka memburukkan anak-anak dan menantu yang lain. Ini terutamanya apabila ada anak yang tidak memenuhi kehendaknya.
“Jika salah seorang anaknya tidak dapat menziarahinya, dikatakan lupa diri. Kata-kata itu diluahkan berulang kali.
“Awalnya saya hanya menjadi pendengar. Namun lama kelamaan, saya menjadi tidak selesa. Di depan kami, ibu mengata anaknya yang lain, di belakang, kami pula diburuk-burukkan,” tulisnya.
Sikap ibu mentua tidak pernah berubah. Terus mereka-reka cerita untuk menarik perhatian anak-anak, seolah-olah menguji kasih mereka.
Beberapa peristiwa seperti itu terus berulang. Menurut Ika, sebelum suami benar-benar sedar dan berubah untuk memberi keseimbangan perhatian antara ibu dan isteri, dia terpaksa melalui pelbagai cabaran.
Cabaran emosi dan dan tekanan. Setiap kali Ika bersuara, dia dikatakan tidak memahami ibu mentua.
“Saya terhimpit antara di tengah situasi antara kasih sayang suami kepada ibu dan hak saya sebagai pasangan,” tulisnya.
Sepanjang tempoh itu kata Ika dia terus bersabar dan berdoa agar suami berubah. Sehinggalah pada suatu hari suami mula sedar dan belajar meletakkan batas tanpa melukakan hati ibu.
Suami sedar, selama ini dia terlalu tunduk kepada rasa bersalah sebagai anak sehingga mengabaikan hati dan perasaan isteri sendiri.
“Suami meletakkan batas, bukan untuk menjauhkan diri daripada ibu tetapi memastikan rumahtangga kekal utuh,” tulisnya.
Kisah Ika memberi pengajaran cinta sahaja tidak mencukupi tanpa kepimpinan. Rumah tangga hanya akan tenang apabila seorang suami itu mampu berdiri seimbang, menghormati ibu, dalam masa sama melindungi isteri.
Sehingga ke hari ini, tulis Ika dalam emelnya itu, walaupun ibu mentua masih tidak berubah, anak-anak tetap memilih untuk berbakti dan membahagiakannya.
Mereka sedar, fasa yang dilalui ibu bukan sesuatu yang asing atau luar biasa, tetapi fasa yang mungkin akan dilalui mereka juga suatu hari nanti.
Dalam Islam, tanggungjawab sebagai anak lelaki perlu seimbang, berbakti kepada ibu dan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Rasulullah SAW bersabda, “Mulakan nafkah kepada dirimu, Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargmu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi berikanlah kepada mereka dan seterusnya,”- Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997).










