SETIAP pertukaran kerajaan atau kepimpinan sering memberi kesan segera kepada pendidikan, sedangkan ia nadi masa hadapan negara.
Apabila politik terlalu campur tangan maka, sistem sekolah tidak lagi dibina atas asas ilmu, data dan keperluan murid tetapi digerakkan oleh slogan, populariti mahupun kepentingan kuasa. Ini menjadikan pendidikan alat politik, sedangkan sepatutnya menjadi payung masa hadapan yang melindungi tanpa mengira parti, kaum atau latar sosial.
Pendidikan bukan medan uji kaji politik atau papan iklan untuk agenda mana-mana pihak. Ia ialah amanah negara, ibu bapa dan masa hadapan.
Perubahan dasar yang tergesa-gesa memberi impak kepada jutaan murid dan ribuan guru. Murid menjadi mangsa ketidaktentuan, guru dibebani tekanan pelaksanaan dan ibu bapa keliru menyesuaikan anak mereka dengan hala tuju yang sentiasa berubah mengikut arus politik semasa.
Lebih membimbangkan, isu pendidikan kerap dijadikan bahan perbahasan tidak matang. Keputusan peperiksaan menurun, kekurangan guru atau isu disiplin sering diputar untuk kepentingan politik. Padahal masalah pendidikan adalah masalah negara yang memerlukan penyelesaian serius.
Pendidikan sepatutnya bersifat lintas parti, melangkaui penggal pemerintahan kerana kesannya dirasai bukan dua-tiga tahun tetapi puluhan tahun.
Setiap pemimpin baharu yang ingin meninggalkan legasi melalui penukaran struktur, program, atau kurikulum, jika dilakukan secara tergesa-gesa, hanya meninggalkan kerosakan, bukan legasi.
Pendidikan mempunyai ekosistem luas meliputi kurikulum, peperiksaan, latihan guru, infrastruktur, teknologi, pembangunan sahsiah, pendidikan khas dan pengurusan sekolah.
Semua ini memerlukan perancangan jangka panjang. Jika negara mahu melahirkan generasi kompeten, rancangan pendidikan perlu sekurang-kurangnya 10 hingga 20 tahun ke hadapan, yang kekal walaupun bertukar kerajaan.
Seperti pembangunan ekonomi, pendidikan juga memerlukan rancangan kebangsaan yang dilindungi daripada gangguan politik.
Dominasi politik dalam pendidikan menimbulkan beberapa masalah dasar menjadi populis, fokus pendidikan tidak seimbang, sekolah menjadi ruang konflik, guru hilang motivasi dan pelajar kehilangan arah.
Guru bukan operator politik sebaliknya mereka pendidik yang membina manusia. Jika sistem berubah-ubah, guru dipersalahkan, semangat mereka luntur dan kualiti pendidikan menurun.
Dalam era globalisasi, dunia kerja menuntut kemahiran komunikasi, kreativiti, pemikiran kritis, literasi digital dan integriti. Semua ini tidak boleh dibina melalui dasar berubah-ubah atau program separuh masak.
Pendidikan juga adalah jalan mobiliti sosial dengan anak miskin, anak kampung dan anak yatim berpeluang berjaya jika sistem adil. Politik yang campur tangan akan memecahkan keadilan ini, memilih peluang berdasarkan kepentingan tertentu, bukan keperluan sebenar.
Kesedaran nasional diperlukan dan pendidikan mesti dipagari daripada perebutan kuasa. Dasar perlu melalui kajian rapi, projek rintis, latihan menyeluruh dan tempoh peralihan munasabah.
Suara guru, pakar pendidikan, universiti dan komuniti perlu diangkat sebagai rakan strategik. Ibu bapa dan masyarakat pula harus menilai pendidikan dengan matang, menyokong guru dan menuntut dasar konsisten. Media juga bertanggungjawab menyiarkan analisis membantu, bukan sensasi politik.
Pendidikan ialah hak anak-anak, bukan hak ahli politik. Ia bukan alat pilihan raya atau medan pengaruh. Pendidikan ialah amanah yang mesti dijaga oleh semua pihak.
Apabila pendidikan kukuh, negara berdiri teguh walaupun politik bertukar.-UTUSAN
AZLIZA AZIZUL
Batu Pahat,
Johor










