PN ada potensi menang 15 kerusi - Utusan Malaysia

PN ada potensi menang 15 kerusi

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini, parti-parti politik yang bertanding belum dapat mendabik dada siapa yang bakal diberi mandat membentuk kerajaan negeri.

Baik Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), masing-masing mempunyai kaedah tersendiri bagi mengukur sejauh mana penerimaan rakyat negeri ini terhadap mereka.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, berdasarkan data-data daripada pengkaji pilihan raya, PN memiliki potensi menang sekurang-kurangnya 15 kerusi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ketika ini situasinya adalah mencabar bagi kesemua parti politik yang bertanding.

“Saya tidak mahu kata kita selesa, tetapi potensi itu ada. Kalau kata yakin dapat atau pasti dapat (15 kerusi) nanti wujud keselesaan pula.

“Saya boleh katakan semua parti kini dalam situasi mencabar. Ada parti yang sombong dulu pun sudah mula kata mungkin boleh berbincang selepas PRN tamat,” katanya dalam sidang akhbar PN di Pejabat Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya, di sini, semalam.

Menurut Wan Saiful, rakyat Melaka bukan jenis yang ikut membuta tuli kerana mereka perlukan data dan fakta.

“Kita hormati cara di Melaka dan sebab itu kita bersungguh-sungguh buat tawaran. Insya-Allah rakyat negeri ini akan beri kepercayaan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, PN hanya menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh pihak lawan, bukannya menyerang secara membuta tuli yang mana penggunaan bahasa kasar dan menyerang pihak lain bukan budaya gabungan parti tersebut.

Jelas beliau, setiap tuduhan perlu dijawab dan apabila PN bertindak sedemikian, timbul pula isu dikatakan menyerang pihak lawan.

“Kalau lihat cara kita (PN), berapa kali kita menyerang secara terbuka. Kita terpaksa menjawab apa tuduhan dilemparkan.

“Apa yang saya cakap seperti PH tidak tepati janji, sekadar janji populis dan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya kenaikan kes Covid-19 di Melaka, ini realiti dan bukan serangan.

“Kita menjelaskan kepada rakyat situasi sebenar. Calon-calon dan jentera parti juga diarahkan menjelaskan apa sebenarnya yang PN tawarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, serang menyerang pihak lawan merupakan taktik diversion (pengalihan) yang selalu diulang-ulang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×