PM lancar empat pakej Pan Borneo di Kinabatangan Sabtu ini - Utusan Malaysia

PM lancar empat pakej Pan Borneo di Kinabatangan Sabtu ini

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual melancarkan projek lebuh raya Pan Borneo bagi pakej pantai timur Sabah di Kinabatangan, Sabtu ini.

Beliau akan mengadakan lawatan kerja ke Sandakan dan Kinabatangan dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Sandakan petang. Kemudian, beliau dijadualkan ke Kinabatangan pada pagi Sabtu bagi melancarkan pakej lebuh raya Pan Borneo berkenaan.

Ia adalah lawatan pertama Ismail Sabri ke Sandakan dan Kinabatangan serta lawatan kedua ke Sabah selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Ogos lalu.

Projek lebuh raya Pan Borneo yang bakal dilancarkan Perdana Menteri di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan pada Sabtu ini membabitkan empat pakej kerja bagi laluan sepanjang Kinabatangan hingga ke Telupid.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, lantikan kontraktor bagi empat pakej kerja itu baharu sahaja dilantik.

“Keempat-empat pakej kerja itu akan dilaksanakan serentak dan dijangka siap pada 2024.

“Empat pakej ini adalah antara pakej baharu projek lebuh raya Pan Borneo Sabah. Satu lagi pakej baharu ialah laluan antara Serusup, Tuaran ke Pituru, Kota Belud yang dijangka dimulakan tahun depan menggunakan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan lima pakej baharu ini merupakan tambahan kepada 11 pakej kerja yang sedang dilaksanakan. Secara keseluruhan terdapat 35 pakej bagi fasa satu projek lebuh raya Pan Borneo Sabah.

Menteri Kerja Raya berkata, 11 pakej yang sedang dilaksanakan ketika ini kebanyakannya membabitkan laluan di pantai barat yang bermula dari Sindumin hingga ke Kudat. Setakat ini, prosesnya sudah mencapai 54 peratus dan dijangka siap pada 2023.

“Sementara itu, baki 19 pakej lagi diharap dapat dilaksanakan secara serentak supaya tempoh penyiapannya dapat dipercepatkan,” katanya.

Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, pelaksanaan empat pakej di laluan Kinabatangan-Telupid bakal menyelesaikan masalah kerosakan jalan raya sedia ada yang menimbulkan rungutan pengguna sejak sekian lama.

“Projek ini akan menyelesaikan isu kerosakan yang kerap berlaku di jalan utama di Batu 32 Sandakan menghala ke Telupid dan dari Batu 32 Sandakan menghala ke Kinabatangan,” katanya.

Projek lebuh raya Pan Borneo Sabah Fasa Satu membabitkan jajaran Sindumin-Kota Kinabalu-Kudat di pantai barat dan Tawau-Batu 32 Sandakan di pantai timur serta Batu 32 Sandakan-Ranau di bahagian tengah Sabah dengan panjang keseluruhan 706 kilometer. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya