PKR perlu teliti, kaji kekalahan PRN Melaka - Utusan Malaysia

PKR perlu teliti, kaji kekalahan PRN Melaka

AMINUDDIN Harun (tengah) bersama Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Hamdan Ali (kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada petugas JBPM Negeri Sembilan pada Majlis Apresiasi JBPM Negeri Sembilan di Seremban semalam.UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: PKR perlu meneliti dan mengkaji faktor kekalahan parti itu di semua kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini. 

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kekalahan tersebut perlu dijadikan iktibar dan tugas ketika ini adalah untuk merangka strategi dalam usaha menarik lagi sokongan rakyat kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH).

“Kepemimpinan parti akur dengan keputusan yang dibuat rakyat Melaka dengan memilih Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka. Kami terima dengan hati terbuka keputusan PRN Melaka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, kami akan kaji dan menilai semula sebarang kelemahan dan merangka strategi terbaik dalam usaha menarik sokongan rakyat terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU-15) kerana kita tahu hanya rakyat yang akan menentukan masa depan sesebuah parti,” katanya.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan di sini 

Beliau yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan menambah, PKR pastinya akan bermuhasabah kerana sejarah parti itu menunjukkan ia pernah berada dalam situasi mempunyai hanya satu kerusi Parlimen di Dewan Rakyat sebelum ia kembali bangkit.

“PH masih lagi ada Selangor dan Pulau Pinang selain Negeri Sembilan. Selaku kerajaan negeri, kami akan terus berusaha melaksanakan amanah dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Aminuddin berterima kasih di atas peranan yang dijalankan oleh pihak bomba di negeri ini yang bersama-sama mengawal dan memutuskan rangkaian penularan Covid-19.

“Barisan pegawai dan anggota bomba Negeri Sembilan sentiasa bekerjasama dalam operasi sanitasi yang diadakan seluruh di negeri ini malah saya dimaklumkan secara keseluruhan sebanyak 1,752 operasi sanitasi dijalankan yang melibatkan bomba setakat ini,” kata beliau.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×