PKR Perak dakwa 90 individu dipaksa jadi ahli Bersatu  - Utusan Malaysia

PKR Perak dakwa 90 individu dipaksa jadi ahli Bersatu 

MUHAMMAD Arafat Varisai Mahamad (tengah) bersama individu yang mendakwa dipaksa menjadi ahli Bersatu pada sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di Ipoh. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: PKR Perak mendakwa lebih 90 individu di Parlimen Tambun dipaksa menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan alasan bagi memudahkan mereka menerima bantuan daripada parti itu

Ketua Penerangan PKR Perak, Muhammad Arafat Varisai Mahamad mendakwa pihaknya menerima aduan berkaitan perkara itu sejak Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi menjadi Perdana Menteri pada Ogos lalu termasuk mempunyai bukti iaitu rakaman video pengakuan mereka yang dipaksa untuk menyertai Bersatu Manjoi tanpa pengetahuan.

“Selepas Muhyiddin tidak lagi menjadi Perdana Menteri, saya difahamkan hampir 65 peratus ahli Bersatu Tambun keluar parti, mereka ini sama ada menyertai UMNO semula atau Pakatan Harapan (PH).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak itu saya difahamkan Bersatu membuat pengambilan ahli baharu dengan istilah ‘memburu’ penduduk menjadi ahli parti itu dengan mendaftarkan golongan yang susah dan yang buta huruf sebagai ahli tanpa dimaklumkan kepada mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Muhammad Arafat mendakwa, Bersatu Tambun turut menipu individu yang buta huruf dengan mendakwa borang yang diberikan kepada mereka merupakan borang untuk memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sedangkan borang yang diberi ialah borang pendaftaran keahlian parti itu.

“Bagi yang boleh membaca, mereka meletakkan syarat jika ingin mendapatkan bantuan, seelok-eloknya mendaftar menjadi ahli Bersatu dan mereka akan menerima bantuan khas berbanding rakyat biasa. Ini merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab kerana mengambil kesempatan kesusahan orang lain untuk menjadi ahli parti.

“Saya cabar Bersatu menjawab perkara ini, saya ada rakaman video, kita akan tengok maklum balas mereka, kalau kata tidak, saya akan tunjukkan bukti,” katanya.

Menurutnya, walaupun dia menerima aduan mengenai perkara itu lebih daripada 90 orang, namun beliau hanya sempat bertemu dengan 10 orang sahaja setakat ini.

Sementara itu, seorang individu, Mahanin Abdul Hamid, 42, berkata, dia pernah memohon untuk menyertai kursus anjuran Bersatu, namun diberitahu tidak layak kerana bukan ahli Bersatu Tambun.

“Saya sedih kerana hak saya sebagai OKU (orang kurang upaya) dan asnaf tidak diberikan apabila memohon bantuan di pejabat Bersatu Tambun hanya kerana saya bukan ahli Bersatu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×