PUTRAJAYA: Individu yang dikesan memijak-mijak lumut ketika berada dalam hutan mossy di negara ini sebenarnya boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi amaun RM50,000.
Malah, si pelaku kegiatan vandalisme tersebut sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah juga boleh dihukum penjara tidak lebih daripada lima tahun atau pun kedua-duanya sekali.
Demikian peringatan tegas Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menerusi hantaran dalam laman sosial rasminya yang dikongsi daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
“Hentikan perbuatan vandalisme terhadap hutan mossy kerana ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 87, 81 (b) dan 81 (c) Akta Perhutanan Negara 1984,” jelas kenyataan itu lagi.
Meskipun agensi tersebut tidak menyatakan secara spesifik kepada mana-mana kes, namun dipercayai merujuk Hutan Mossy Gunung Brinchang, Daerah Cameron Highlands di negeri itu.
Hutan berkeluasan 914 hektar berkenaan menjadi tumpuan ramai penggemar alam kerana ia satu-satunya titik paling tinggi di Semenanjung yang boleh diakses mudah dengan kenderaan.
Lokasi ini ‘diserbu’ pengunjung kerana jarak cuma enam kilometer dari jalan utama dan 20 minit melalui Ladang Teh Boh Sungai Palas yang juga estet teh paling cantik di Asia Tenggara.
Mengulas lanjut, jabatan tersebut turut menyenaraikan empat lagi kelakuan merosakkan alam dalam hutan berkenaan yang boleh ditangkap jika ada dikesan oleh anggota penguatkuasaan.
“Ia meliputi tindakan tidak bertanggungjawab memanjat struktur menara pandang, berjalan melepasi laluan yang dibenarkan, mematahkan pagar ‘boardwalk’ dan tumbuhan,” katanya.
Hutan ‘mossy’ turut dikenali sebagai hutan awan kerana pengunjung dapat menyaksikan pergerakan awan bergerak laju di celah pokok ketika ditiup angin seolah-olah ada kabus tebal.
Laluan pelantar kayu disediakan pihak pejabat hutan daerah untuk memastikan pelawat tidak memijak lumut kerana permukaan tanah dilitupi tumbuhan tersebut memang sangat licin.
Di Cameron Highlands, individu perlu memohon permit sebelum boleh masuk hutan ‘mossy’ dan berjalan menuju ke puncak Gunung Irau yang berketinggian 2,112 meter dari paras laut.
Cuaca kawasan di sini memang sejuk kerana terletak 2,031 meter dari paras laut dan indah hingga dijadikan lokasi penggambaran filem legenda epik Puteri Gunung Ledang pada 2004.
Terdapat sejumlah 736 hutan mossy melibatkan 59 negara atau satu peratus hutan tersebut di seluruh dunia dengan Malaysia sahaja memiliki sebanyak 54 tapak hutan jenis berkenaan.
Kelazimannya, ia terletak lebih 500 meter dari paras laut dengan taburan hujan tahunan boleh mencecah 10,000 millimeter setahun dan suhu purata antara lapan hingga 20 darjah Celsius.- UTUSAN ONLINE










