PH hilang sokongan Melayu - Mat Sabu - Utusan Malaysia

PH hilang sokongan Melayu – Mat Sabu

MOHAMAD Sabu menghadiri Konvensyen Amanah Kelantan Kali Keenam 2021 di Kota Bharu, Kelantan,  hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hilang sokongan pengundi Melayu diakui menjadi antara faktor utama kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, hikmah terjadinya PRN Melaka, parti itu dan rakan sekutu lain sekurang-kurangnya dapat mengukur iklim sebenar politik negara.

Berdasarkan pilihan raya itu, kata beliau, rakyat Malaysia masih mudah termakan dengan umpan perkauman dan perkara itu terus menjadi modal survival pihak yang mahu berkuasa atau mengambil alih kuasa. 

“Bagi Amanah, kita lihat hilangnya sokongan orang Melayu kepada PH (dalam PRN Melaka). Baguslah PRN Melaka itu dibuat, dapat kita mengukur keadaan sebenar. Oleh itu PH akan bermesyuarat Isnin ini bagi membincangkan hal ini.

“Yang utama sekali, kita kena banyakkan rakan berbanding lawan dan hilangkan persepsi negatif yang ditanam terhadap PH.

“(Persepsi) bukan betul pun, malah sekarang kita nampak Pas Kelantan sendiri pun mula sebut rasa nikmat di bawah kerajaan PH yang beri RM400 juta duit petroleum kepada Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan Kali Keenam yang turut dihadiri Pengerusi Amanah Negeri, Muhammad Hussin, di sini hari ini.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi iaitu dua pertiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, menyaksikan tambahan lapan kerusi, berbanding 13 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU- 14).

Parti itu menewaskan PH yang hanya memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad turut menyeru Amanah dan PH negeri ini supaya bersiap sedia menghadapi PRU-15 tidak lama lagi, termasuk berunding dengan mana-mana pihak bagi mengukuhkan kedudukan di Kelantan.

“Tetapi kalau nak berunding dengan mana-mana pihak itu, biarlah ketiga-tiga parti iaitu Amanah, PKR dan DAP bersetuju bersama sebelum diputuskan di peringkat nasional. Adab berorganisasi begitulah,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.