PUTRAJAYA: Tindakan drastik kebanyakan pekebun sayur tempatan yang mula beralih kepada penanaman tomato pula dijangka melonjakkan lagi harga kacang buncis di pasaran.
Menurut Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), tindakan para petani terbabit dipercayai kerana menjangka kononnya harga tomato akan meningkat penghujung tahun ini.
“Justeru, harga kacang buncis diramal akan terus berada pada paras amat tinggi bergantung kepada faktor dan situasi semasa yang mungkin juga berubah,” jelasnya.
Semalam, harga runcit sayur tersebut secara purata nasional didapati telah menokok empat peratus kepada RM12.50 daripada hari sebelumnya, malah diunjurkan bakal terus naik lagi.
FAMA melalui infografik dalam laman sosialnya menunjukkan kedudukan terkini harga runcit purata di Semenanjung yang 10 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang mana memaparkan skala maksimum RM11.45 pada 21 Oktober lalu dan unjuran RM13.25 pada 4 Disember kelak.
Setakat ini, kacang buncis paling mahal dijual di Sarawak, Kuala Lumpur dan Perlis apabila merekodkan harga runcit sebanyak RM15 sekilogram diikuti Pulau Pinang dengan RM14.50; disusuli Negeri Sembilan (RM13.50), Pahang (RM13.00), Selangor (RM12.15), Kelantan (RM12.00), Johor (RM11.50), serta Kedah dan Perak yang masing-masing dengan RM11.00.
Pemantauan Bahagian Maklumat Pasaran FAMA mendapati Sabah mencatatkan harga runcit kacang buncis paling murah di Malaysia iaitu RM7 sekilogram, diikuti Melaka dengan RM9.
“Pembekal maklumat di peringkat ladang memaklumkan bekalan sayur ini sudah berkurangan disebabkan faktor cuaca sejak kebelakangan ini yang memberi kesan tumbesaran,” katanya.
Malahan, perubahan harga di peringkat ladang turut menokok lima peratus kepada RM10.20 setelah pernah jatuh merekodkan skala minimum runcit sebanyak RM7.80 awal bulan lalu, dengan analisis berdasarkan kepada pemerhatian pegawai FAMA di lapangan tanpa memenuhi piawaian statistik rasmi negara.
Kacang buncis atau nama saintifiknya, Phaseolus vulgaris, berasal dari rantau Amerika Tengah dan Selatan dengan kaya khasiat protein serta vitamin yang baik untuk kesihatan badan, dengan pakar nutrisi menyarankan pemakanan sayur ini untuk menurunkan tekanan darah tinggi, mengawal metabolisme gula dan sesuai untuk pesakit kencing manis atau darah tinggi.- UTUSAN ONLINE