KUANTAN: Seorang pengawal keselamatan maut manakala rakannya parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 191.2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, Mohamad Fitri Yamani Zaki Yamani, 24, beralamat di Felda Bukit Mendi, Triang, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna kelabu yang dipandu mangsa dari arah Maran menghala ke Kuantan.
“Siasatan awal mendapati, ketika tiba di lokasi kejadian kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, seorang penumpang kereta, Muhammad Rizqi Akasyah Abdullah, 18, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kuantan, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). – UTUSAN









