Pesawah rugi harga racun rumpai naik 100 peratus

Pesawah rugi harga racun rumpai naik 100 peratus

MOHD. Fuad Yaacob (tiga dari kanan) bersama beberapa pesawah mengadakan bantahan kenaikan harga racun rumpai di Alor Janggus, Alor Setar, Kedah, hari ini. - FOTO/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini mengeluh selepas harga racun rumpai semakin meningkat kira-kira 100 peratus sehingga membebankan mereka sejak Mei lalu.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) Kedah, Mohd. Fuad Yaacob berkata, kenaikan harga racun sejak Mei lalu menyebabkan pesawah terpaksa menanggung kerugian sekiranya masalah tersebut tidak dapat ditangani secepat mungkin.

Katanya, kenaikan harga racun itu bukan sahaja membebankan pesawah malah penanam sayur di negeri ini apabila mereka terpaksa membelinya walaupun harga tinggi.

“Sebelum ini harga racun rumpai untuk empat liter harganya adalah RM53 sahaja. Bagaimanapun sejak akhir ini harga racun naik mendadak hingga RM75 untuk empat liter. Begitu juga racun rumpai untuk 20 liter pula dahulunya hanya RM220 sahaja tetapi kini mencecah RM400.

“Apabila pihak kami cuba membuat tinjauan dengan kenaikan harga itu, pihak pembekal memaklumkan punca utama kenaikan harga racun disebabkan bahan untuk membuat racun naik dan mata wang negara kita semakin jatuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan bantahan kenaikan harga racun rumpai di Alor Janggus, di sini hari ini.

Mohd. Fuad berkata, hasil keuntungan petani untuk musim ini akan terjejas berikutan kenaikan harga racun tersebut.

“Saya berharap kerajaan campur tangan segera dalam menyelesaikan masalah ini supaya petani tidak akan dibebankan dengan kos input hari ini.

“Selain itu, pesawah MADA juga merayu supaya subsidi sebanyak RM300 yang diperoleh setiap musim dapat dinaikan lagi kepada RM360 sesuai dengan kos input pertanian semakin meningkat,” ujarnya.

Pesawah, Hashim Ahmad, 66, dari Kampung Besar, Padang Hang, Anak Bukit pula berkata, kenaikan harga racun rumpai membebankan petani, selain harga benih padi juga semakin meningkat.

“Setiap kali musim menanam padi, sudah pasti kos input akan meningkat dan mengharapkan kerajaan dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan segera,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya