Peruntukan sama rata wakil rakyat boleh sekat lompat parti  - Utusan Malaysia

Peruntukan sama rata wakil rakyat boleh sekat lompat parti 

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Peruntukan sama rata yang diberikan oleh kerajaan kepada semua wakil rakyat termasuk dalam kalangan pembangkang dilihat boleh menyekat kepada tindakan lompat parti.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang juga Setiausaha Organisasi DAP berkata, peruntukan yang dinafikan kepada wakil rakyat pembangkang menyebabkan ada dalam kalangan wakil rakyat menjadikan ia sebagai alasan untuk mereka melompat parti.

“Banyak keadaan ia dijadikan alasan untuk lompat parti. Mereka kata kalau berada dalam pembangkang tiada peruntukan, tidak boleh bantu rakyat dan tidak boleh bangunkan kawasan. Jadi mereka lompat ke parti kerajaan dan dapat peruntukan.

“Untuk itu kita perlu membawa satu budaya politik baharu dan hentikan segala kegiatan tindakan  lompat parti. Selain ada pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk melarang lompat parti, kita juga perlu budayakan politik baharu yang lain seperti peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat tidak kira kerajaan ataupun pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan banjir kepada penduduk yang terjejas di Balai Raya Kampung Sungai Jai, Lenggeng di sini, hari ini.

Menurut Siew Fook, peruntukan sama rata antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hasil Memorandum Persefahaman (MoU) pihak kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) adalah satu permulaan yang baik.

“Saya lihat ada perubahan sikap malah manifesto Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dinyatakan mereka akan beri peruntukan sama rata kepada wakil rakyat pembangkang. Selepas mereka diberikan mandat untuk bentuk kerajaan negeri, saya harap BN akan kotakan janji mereka itu.

“Ia sesuatu yang baik untuk negara dan rakyat, ia perlu diteruskan dan dilaksanakan. Selepas ini saya harap Kerajaan Negeri Sarawak ambil pendekatan yang sama sebab selepas ini ada PRN Sarawak. Mana-mana parti yang bentuk kerajaan Sarawak, mereka juga perlu laksanakan dasar peruntukan yang sama rata,” katanya lagi.

Siew Fook yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah berkata, beliau  akan membawa perkara itu dalam perbahasan  Sidang DUN Negeri Sembilan minggu depan supaya ia boleh menjadi dasar kerajaan negeri yang kini diperintah oleh PH.

“Di Negeri Sembilan, saya juga mencadangkan supaya kerajaan negeri di bawah PH juga perlu laksanakan dasar yang sama kepada ADUN-ADUN pembangkang.

“Kita mahu membawa satu politik baharu dalam negara kita, jangan kita mangsakan kawasan-kawasan yang menyokong pembangkang. Ini terpakai kepada kedua-dua belah pihak. Saya harap dapat yakinkan rakan-rakan saya dalam kerajaan negeri,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu, peruntukan yang diterimanya sebagai ahli Parlimen pembangkang daripada kerajaan Persekutuan sebelum ini banyak digunakannya untuk disalurkan semula bagi membantu pihak sekolah, persatuan ibu bapa dan guru serta persatuan-persatuan yang lain.

“Dalam dua bulan kebelakangan, saya menerima banyak permohonan daripada pihak sekolah untuk buat pelbagai projek kecil khususnya untuk menaik taraf kemudahan ICT mereka seperti menaik taraf bilik komputer.

“Itu jadi keutamaan saya dan banyak juga peruntukan itu sudah disalurkan kepada persatuan-persatuan lain, khususnya PIBG sebab saya tahu PIBG sekarang mengalami pelbagai kesukaran untuk dapatkan sumbangan dan derma daripada orang ramai termasuk daripada ibu bapa ekoran keadaan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.