Pertubuhan Kasih Neelofa sasar program besar di Sabah - Utusan Malaysia

Pertubuhan Kasih Neelofa sasar program besar di Sabah

Noor Razlina (kiri) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada salah seorang penerima di Taman Sri Rugading, Telipok di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN) merancang untuk melaksanakan program yang besar di Sabah pada tahun depan bagi membantu lebih banyak golongan asnaf di negeri ini.

Timbalan Pengerusi PKN, Noor Razlina Noor Mohamed berkata, apabila melihat statistik Kelantan dan Sabah berada dalam statistik negeri yang mencatatkan kadar kemiskinan yang tinggi, pertubuhan itu mengambil inisiatif untuk membantu golongan asnaf miskin di kedua-dua negeri ini.

Beliau berkata, Sabah menjadi salah satu lokasi yang diberi fokus oleh pertubuhan ini kerana apabila masuk ke kawasan kampung, bilangan orang yang memerlukan bantuan meningkat hingga 10 kali ganda.

“Maka, kami memerlukan dana yang lebih besar untuk melaksana program bantuan di Sabah kerana negeri ini agak besar dan kami yakin sasaran yang ditetapkan ini mampu dicapai.

“Antara program besar yang dirancang adalah memberi sumbangan 10,000 hingga 20,000 naskah al-Quran untuk kegunaan masjid dan surau di Sabah.

“Selain itu, kami akan meneruskan program bakul makanan untuk golongan asnaf miskin yang terjejas akibat pandemik Covid-19 ini,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan bakul makanan di Taman Sri Rugading, Telipok semalam.

Dalam program itu, PKN menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 333 orang penerima dan sepanjang tahun ini, pertubuhan ini sudah menyumbang lebih 5,000 bakul makanan kepada golongan asnaf miskin di Sabah.

Noor Razlina berkata, pertubuhan ini turut bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) bagi menaik taraf surau yang daif di Sabah. Setakat ini, 17 buah surau sudah dinaik taraf dan dilengkapi dengan penghawa dingin di bandaraya ini, Beaufort serta di Pulau Mantanani, Kota Belud.

Tambah beliau, pertubuhan itu akan bekerjasama dengan Muis dan agensi berkaitan di Sabah bagi melaksanakan program-program yang lebih baik pada masa akan datang agar golongan sasar dapat dibantu.

Katanya, Sabah adalah negeri kedua yang dipilih bagi menjalankan program kembara Kasih Neelofa selepas kerajaan memberi kelonggaran membenarkan aktiviti rentas negeri.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya