Pertembungan BN-PN akibat kuasa dan kedudukan - Utusan Malaysia

Pertembungan BN-PN akibat kuasa dan kedudukan

AMINOLHUDA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di 28 kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukti jelas kedua-dua parti yang menjunjung ketuanan Melayu dan Islam itu hanya mengejar kuasa dan kedudukan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, hal ini membuktikan bahawa perjuangan parti yang kononnya mahu memperkukuh kerajaan Melayu yang sering digembar-gemburkan hanyalah retorik politik semata-mata.

“Bagaimana sebuah kerajaan yang duduk di Persekutuan yang satu ketika bersama dalam sebuah kerajaan negeri Melaka tapi hari ini mereka boleh berlawan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada PRN Melaka ini, mereka berpecah. Ini menggambarkan kepada kita bahawa mereka yang melaungkan perjuangan kerajaan Melayu Islam adalah retorik semata-mata, mereka hanya inginkan kuasa dan kedudukan.

“Mereka mengambil kesempatan dengan kuasa yang ada untuk kepentingan masing-masing baik di peringkat negeri dan Persekutuan. Jadi, saya yakin rakyat dapat menilai situasi ini,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Stulang, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng.

Kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru yang menyaksikan BN, PH dan PN masing-masing merebut keseluruhan kerusi.

Aminolhuda yang juga ADUN Parit Yaani berkata, rakyat sepatutnya boleh nampak PH lebih kukuh dan mantap untuk mengambil tanggungjawab sebagai kerajaan pada masa depan.

“Dahulu mereka (PN dan BN) tumbangkan kerajaan PH atas dakwaan Islam dan Melayu terancam, tetapi bila mereka duduk bersama pun mereka tetap bergaduh dan tak boleh sepakat. Untuk apa mereka bentuk kerajaan selain kepentingan peribadi sahaja.

“Banding dengan PH, kita kemukakan calon, duduk bersama dan bersedia terima keputusan yang mungkin ada perselisihan namun demi rakyat, kita tetap bersama. Itu bezanya PH,” katanya.

Beliau berkata, melihat daripada situasi pengundian pada PRN Melaka pihaknya juga tidak menafikan perkara sama akan berlaku di Johor yang mana jumlah kerusi DUN yang lebih banyak.

“Jika kita lihat di Melaka sahaja sudah pasti ada tiga penjuru membabitkan dua pihak daripada kerajaan, ini perkara yang tidak pernah berlaku dan situasi pengundian yang begitu berbeza. 

“Tidak mustahil perkara sama akan berlaku di negeri ini pada pilihan raya akan datang, kita menjangkakan jurang besar akan berlaku dari segi pengundian dan kiraan undi berbanding yang dialami dalam pilihan raya sebelum ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×