Perlis sebagai hab pelancongan seni - Utusan Malaysia

Perlis sebagai hab pelancongan seni

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (tiga dari kiri) merasmikan Telaga Puteri Bunga Emas sempena program seni bersama komuniti : Rural Art Experience Perlis 2020-2021 di Nipah Klasik, Kampung Bunga Emas, Simpang Empat, Arau, Perlis semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Sesebuah karya seni tidak boleh selama-lamanya berada di dalam galeri, sebaliknya pelukis dan karya tersebut perlu dipamerkan kepada masyarakat dalam ruang yang lebih terbuka dan mudah didekati.

Pada masa sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berharap usaha mempercepatkan negeri ini sebagai hub pelancongan seni dapat segera terlaksana.

“Hasil-hasil karya seni yang tercipta di dinding-dinding, lorong, luar dan di dalam premis serta yang sedia terpamer di galeri akan menyemarak dan mempercepatkan lagi usaha bagi menjadikan negeri ini hab kepada pelancongan seni. 

“Diharapkan, suatu masa nanti Perlis bukan saja terkenal sebagai hab kepada pelancongan eko, pelancongan agro, pelancongan sukan malah menjadi hub kepada pelancongan seni.

“Kita berharap dan yakin melalui inisiatif-inisiatif yang digerakkan oleh semua pihak ke arah menjadikan landskap negeri Perlis ini indah dan berwajah baharu, Insya-Allah, ia akan berjaya menarik lebih ramai pelancong dan meningkatkan lagi ekonomi negeri dan rakyatnya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan program seni bersama komuniti: Rural Art Experience Perlis 2020-2021 di Nipah Klasik, Kampung Bunga Emas, Simpang Empat di sini, semalam.

Keberangkatan baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung baginda berdua, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail disambut oleh Pengerusi Persatuan Pelukis Negeri Perlis (PPNPs), Yaakob Abd Aziz.

Program tersebut dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Balai Seni Negara dan PPNPs.

Baginda turut berkenaan merasmikan Telaga Puteri Bunga Emas serta melawat pameran lukisan melalui program seni dan komuniti itu.

Seramai 50 pelukis dari dalam dan luar negeri ini hadir pada program yang berlangsung selama dua hari dengan pelbagai aktiviti melukis dan gotong-royong bersama penduduk setempat itu.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, seni tidak boleh lagi berada di dalam ruang lingkup atau kelompoknya sendiri.

Sebaliknya, titah baginda, seni visual atau apa jua genre seni dan budaya itu harus turun kepada masyarakat.

“Aktivis kini tidak harus mengasingkan diri dengan berkarya di dalam studio, galeri atau di premis yang tertutup sahaja, tetapi turunlah mendampingi masyarakat atau komuniti setempat iaitu berkarya sambil melakukan aktiviti kemasyarakatan,” titah baginda.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya