KUALA LUMPUR: Polis mengambil tindakan tegas terhadap pihak mencetuskan provokasi ketika berlangsungnya Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung di sekitar ibu negara, pada 26 Julai ini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, tindakan boleh diambil sekiranya mendapati terdapat sebarang ucapan atau provokasi dibuat sepanjang perhimpunan itu berlangsung.
“Jangan bakar apa-apa benda termasuk suar seperti perhimpunan sebelum-sebelum ini. Jika ada apa-apa kesalahan dikesan, contohnya terdapat provokasi atau isu 3R (raja, kaum dan agama) dibangkitkan, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di sini semalam.
Pada majlis itu, Mohamed Usuf menerima tugas sebagai Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur daripada Datuk Rusdi Mohd. Isa yang dilantik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sambil disaksikan Pengarah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad.
Himpunan Turun Anwar anjuran Perikatan Nasional (PN) dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.
Bagaimanapun pemimpin PN meminta pihak berkuasa menghormati perhimpunan itu dengan mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1 Julai yang memutuskan subseksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) sebagai tidak sah dari segi Perlembagaan.
Sebaliknya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga perkara utama masih kekal dan perlu dipatuhi penganjur serta peserta iaitu tidak dibenarkan membawa senjata berbahaya, ucapan tidak menyentuh 3R dan tidak dibenarkan membawa kanak-kanak.
Mohamed Usuf mengingatkan peserta dan penganjur Himpunan Turun Anwar agar berhimpun secara secara aman tanpa melakukan sebarang provokasi sehingga mencetuskan keadaan tidak aman.
Katanya, seramai 2,000 anggota polis digerakkan bagi memastikan keselamatan setelah berdasarkan maklumat risikan, seramai 15,000 orang dijangka menyertai perhimpunan itu.
“Maklumat awal diperoleh, peserta yang menyertai himpunan itu akan berkumpul di empat lokasi iaitu di Sogo, Pasar Seni, Masjid Jamek dan Masjid Negara sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka.
“Walaupun masyarakat mempunyai hak untuk berhimpun, saya harap mereka berkumpul secara aman di bawah Perlembagaan,” katanya.
Mohamed Usuf berkata, setakat ini, tiada penutupan jalan di lokasi berhimpun namun perkara itu bergantung kepada keperluan semasa.-UTUSAN










