Dr. Lenny, hilang masa muda demi sebuah jihad

Dr. Lenny, hilang masa muda demi sebuah jihad

DR. Lenny Suryani Safri tampil manis dengan busana rona lembut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia perubatan yang sering digambarkan sebagai medan tempur yang tiada noktah, lahir seorang wanita dengan hati seteguh waja dan jiwa selembut sutera, Dr. Lenny Suryani Safri, pakar bedah vaskular yang bukan hanya menyelamatkan nyawa, tetapi menghidupkan harapan.

Dibesarkan di Batu Gajah, Perak, tanah kecil itu menjadi saksi impian besarnya membesar dengan cita-cita tinggi yang tidak pernah padam.

Sejak di bangku Sekolah Rendah Convent Batu Gajah ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Taiping dan akhirnya ke Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1999, langkahnya sentiasa konsisten, terarah dan penuh tekad.

Namun, tidak ada yang mudah dalam dunia seorang wanita yang memilih untuk menjadi pakar bedah, walaupun ibu bapanya sendiri bergelar doktor perubatan.

Setelah menggenggam ijazah perubatan, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang pembedahan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum menjejakkan kaki ke dalam dunia subkepakaran yang hanya dimasuki oleh yang benar-benar berani.

Vaskular. Bunyi pun sudah berat. Ia bukan hanya tentang pembedahan, tetapi tentang darah, salur nadi, detik hidup dan mati.

Ia adalah disiplin perubatan yang memerlukan ketepatan, ketahanan dan ketegasan. Di sinilah wanita berusia 45 tahun ini mengukir jejak.

Di Malaysia, pakar bedah vaskular atau salur darah hanya sekitar 40 orang dan daripada jumlah itu hanya empat pakar bedah terdiri daripada wanita yang salah satunya adalah Dr. Lenny Suryani.

“Sebelum ini, bidang ini didominasi oleh lelaki kerana kekangan waktu kerja. Kerjaya ini memerlukan pakar untuk bersedia sepanjang masa kerana bila-bila masa sahaja boleh ada kes kecemasan.

“Misalnya, kejadian seperti pembuluh darah agung (aorta) pecah. Jika berlaku waktu malam, malamlah kami perlu ke hospital. Jadi, ia agak sukar sebenarnya untuk kaum wanita terutamanya jika sudah berkeluarga,” katanya.

Namun, keputusannya untuk menongkah arus tidak pernah disesali. Walaupun terpaksa mengorbankan masa mudanya, beliau bersyukur kerana kini mampu berbakti kepada bangsa dan negara.

Beliau berkembang mekar sebagai seorang wanita luar biasa yang berjuang dengan pisau bedah di tangan dan kasih sayang di dada.

Kini, beliau bukan sahaja Ketua Unit Vaskular Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) tetapi juga pensyarah.

“Saya hilang zaman muda saya,” luahnya dengan tenang, namun dalam suaranya ada getar pengorbanan yang tidak pernah dipertontonkan.

Ketika teman sebaya menikmati waktu muda, beliau berkejar dari dewan bedah ke rumah, membahagikan diri antara pesakit, pelajar dan anak-anak kecil yang menunggu di rumah.

Dunia beliau tidak punya ruang untuk keluhan. Ia hanya ada dua titik tumpu iaitu tanggungjawab dan kasih sayang.

Daripada situ, lahirlah seorang wanita yang tidak pernah berkira dengan masa, tidak pernah merungut dengan takdir.

Seorang wanita yang menjadikan setiap hari sebagai medan jihad iaitu jihad ilmu, jihad perkhidmatan dan jihad kemanusiaan.

“Saya fikir, kalau apa yang saya lakukan ini Allah pandang, itu sudah cukup bagi saya. Rasa itu paling kuat ketika saya menunaikan haji. Di situ saya benar-benar sedar, sumbangan saya ini bukan sekadar merawat pesakit, tetapi juga mendidik anak bangsa.

“Itu satu pengorbanan yang besar buat kami kerana dalam keadaan kami boleh sahaja memilih untuk berkhidmat di sektor swasta yang lebih selesa, kami tetap memilih untuk terus berada di sini.

“Saya tahu, pesakit-pesakit saya, terutamanya dalam bidang vaskular, ramai yang bukan dalam kalangan orang senang. Saya juga tahu, kalau bukan kami yang mendidik generasi baharu para pelajar perubatan, siswazah, pegawai latihan, siapa lagi yang akan lakukan? Inilah jihad saya. Jihad ilmu dan kemanusiaan. Ia bukan sekadar untuk dunia, tetapi saya yakin, inilah bekal untuk akhirat saya juga,” ujarnya.

Dalam kelembutan senyumannya, terselit ribuan malam tanpa tidur.

Dalam tutur katanya yang lembut, bersemadi kekuatan seorang wanita yang menentang arus.

Baginya, cukuplah jika satu nyawa selamat, satu pelajar menjadi insan berguna, satu keluarga diberi harapan.

GENERASI MUDA DIAMBANG BAHAYA

Di sebalik kehebatan itu, tersembunyi satu keresahan yang meruntun hati beliau sebagai doktor dan juga seorang ibu.

Keresahan terhadap generasi muda yang kian rapuh ditelan arus gaya hidup tidak sihat.

Setiap hari, beliau menyaksikan pesakit yang semakin muda, menderita akibat diabetes, kolesterol tinggi dan kegagalan buah pinggang, yang dahulu hanya dikaitkan dengan usia senja.

“Saya pernah rawat kanak-kanak berumur lapan tahun yang sudah ada diabetes jenis 2. Ini bukan kes terpencil. Ini sudah menjadi amaran,” ujarnya.

Baginya, kebimbangan ini bukan lagi satu statistik kosong. Ia adalah realiti yang datang mengetuk pintu klinik dan dewan bedah saban hari.

Paling menakutkan, semua ini berpunca daripada sesuatu yang sangat mudah iaitu makanan murah, manis dan berbahaya yang berlegar di sekeliling kita saban hari.

“Sekarang, terlalu murah untuk jadi sakit.

“Makanan sihat mahal, tetapi minuman manis dengan harga yang begitu murah ada di setiap sudut. Budaya ini mengancam anak kecil secara perlahan-lahan.” karanya.

Beliau juga melihat anak-anak yang dulunya dianggap ‘comel’ kerana gemuk dan ‘berisi’ kini menjadi antara wajah yang tersandar di katil hospital.

Remaja yang sepatutnya bergembira dengan masa hadapan, kini menjalani rawatan dialisis seawal usia 20-an.
Hati mana yang tidak luluh melihat masa hadapan bangsa yang dikikis oleh gula dan kemalasan?

Namun, Dr. Lenny Suryani tidak sekadar berkongsi resah. Beliau menjadi suara yang tidak jemu mengingatkan, mendidik dan memimpin dengan ilmu.

Setiap pesakit yang dirawat bukan sekadar tubuh yang dibedah, tetapi jiwa yang ditenangkan.

Setiap pelajar yang diajar bukan sekadar calon doktor, tetapi pewaris perjuangan.

Di samping itu, beliau turut menyuarakan kegusaran mengenai trend anak muda ketika ini yang tidak mahu menyambung pelajaran terutamanya dalam bidang sains dan perubatan yang dianggap sukar.

“Wahyu pertama yang diturunkan pun adalah ‘Iqra’ – bacalah. Itu sudah cukup menunjukkan betapa ilmu asas segalanya. Tetapi, kita sendiri yang kadang enggan menghayatinya. Ramai anak muda hari ini lebih tertarik dengan jalan pintas untuk berjaya atau kaya,sedangkan tiada kejayaan yang benar-benar mudah.

“Ilmu dan kemahiran itu tidak boleh dicuri, tidak akan lupus dimakan masa. Duit boleh habis, populariti boleh pudar tetapi ilmu akan terus membawa kita, bukan sahaja di dunia, malah menjadi bekal di akhirat.”

“Kalau hendak jadi pempengaruh pun tidak salah. Tetapi, biarlah pempengaruh yang berilmu. Jangan berhenti belajar,” nasihatnya.

SEIMBANG KERJAYA, KELUARGA

Dr. Lenny Suryani bukan sekadar pakar bedah vaskular. Beliau lambang seorang wanita boleh menjadi seteguh batu, setajam pisau dan seindah bunga dalam masa yang sama.

Dalam kesibukannya di hospital dan bergelar pendidik, beliau tetap memperuntukkan masa untuk tiga cahaya matanya.

Bergelar ibu tunggal dengan kerjaya sebagai pakar bedah bukanlah sesuatu yang mudah, namun beliau enggan kehilangan masa berharga melihat anak-anak membesar.

Walaupun mempunyai pembantu di rumah, beliau tetap menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada anak-anak untuk mencipta momen bersama.

“Saya ada pembantu sewaktu anak-anak kecil dahulu. Tetapi, jika ada di rumah saya akan uruskan anak-anak sendiri waima temankan ke tandas atau suapkan makan.

“Sehingga kini, apabila mereka sudah besar, mereka sendiri kata tidak pernah sedar pun kalau saya sibuk kerana saya sentiasa pastikan masa-masa senggang yang ada dimanfaatkan sepenuhnya bersama keluarga,” ujarnya sambil menambah anak sulungnya bakal mengikuti jejak langkahnya tidak lama lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN