PADANG RENGAS: Penjawat awam di Perak yang masih enggan menerima vaksin Covid-19 diminta berlapang dada dengan segera mendapatkan suntikan berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, meskipun berbeza pandangan dan pendirian mengenai vaksin Covid-19, golongan itu perlu sedar mereka tertakluk kepada peraturan selaku penjawat awam termasuk boleh dikenakan tindakan tatatertib.
Katanya, di Perak, lebih 85 peratus penjawat awam telah lengkap dua dos suntikan vaksin namun ada laporan yang diterima membabitkan mereka yang enggan divaksinasi termasuk guru.
“Memang kita tidak boleh memaksa mereka kerana polisinya begitu tetapi penjawat awam ini terikat dengan peraturan.
“Misalnya, sebelum mula bekerja, kita perlu melalui beberapa ujian kesihatan termasuk membuat imbasan x-ray. Jadi, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali boleh menggunakan polisi sama untuk mewajibkan vaksin ke atas penjawat awam.
“Ia merupakan perkara yang boleh dikuatkuasakan melalui peraturan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi ‘townhall’ bersama penjawat awam dan warga keselamatan di Dewan Millenium Lubok Merbau di sini hari ini.
Menurut Saarani, tindakan mereka yang enggan menerima pelalian itu bukan lagi isu terpencil kerana ia melibatkan orang ramai secara keseluruhannya.
Ini kerana katanya, penjawat awam khususnya yang bertugas di kaunter termasuk guru adalah individu yang paling banyak berhadapan dengan orang ramai.
“Orang-orang yang tidak mengambil vaksin ini bukan sahaja berpeluang untuk mendapat jangkitan malah mereka juga boleh menjangkiti orang lain.
“Jadi adalah tidak adil untuk orang yang telah divaksin kerana kita berusaha sedaya upaya untuk tangani Covid-19 dengan berbilion ringgit telah dibelanjakan untuk membekalkan vaksin namun malang hanya kerana beberapa peratus rakyat yang degil,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai peralihan Perak ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), beliau optimis ia akan dapat dicapai berdasarkan jumlah kes jangkitan Covid-19 di negeri ini yang merekodkan penurunan.
“Lagi cepat lagi bagus (beralih fasa) sebab semalam angka di Perak mencatatkan di bawah 300 kes.
“Saya jangka kalau boleh kekalkan momentum ini atau lebih rendah iaitu di bawah 100 kes, sudah tentu kita akan dapat hadiah daripada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 untuk kita beralih ke Fasa 4,” katanya.