SHAH ALAM: Penjaja-penjaja yang memegang lesen sementara untuk berniaga di bandaraya ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu digesa memohon tapak perniagaan khas yang disediakan.
Menurut Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) masih memberi peluang kepada peniaga untuk berniaga di kawasan yang dikhususkan sehingga bulan depan.
“Sementara itu jika ada penjaja yang berniaga di kawasan yang menghalang lalu lintas kita akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya berharap penjaja-penjaja yang berniaga di tempat yang tidak dibenarkan memohon secara rasmi kepada MBSA untuk berniaga di kawasan yang dikhaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan MBSA di Wisma MBSA hari ini.
Terdahulu, kerajaan negeri dilaporkan berkata, pihaknya telah mengeluarkan 4,000 permit berniaga sementara kepada rakyat negeri ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19 tahun ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi memudahkan penjaja di bandaraya ini berniaga pihaknya telah menyediakan tapak niaga lebih kondusif di Pasar Moden Sri Muda Seksyen 25, Laman Niaga Seksyen U10, Pasar Moden Seksyen 6 dan beberapa gerai di Seksyen U6 dan U20.
Mengulas lanjut Zamani berkata, kawasan untuk penjaja terbabit masih banyak lagi yang kosong dan beliau berharap penjaja-penjaja terbabit mengambil peluang untuk berniaga di tempat yang disediakan.
“Sememangnya penjaja kalau boleh mereka ingin berniaga di lokasi berhampiran jalan raya.
“Namun sebaiknya mereka memohon tapak perniagaan khas yang lebih selesa walaupun jauh daripada kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN









