Penipuan dalam talian meningkat 60 peratus - Utusan Malaysia

Penipuan dalam talian meningkat 60 peratus

ACRYL SANI ABDULLAH SANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trend penipuan dalam talian dikesan meningkat 60 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peningkatan sejak 2011 itu susulan perkembangan teknologi canggih termasuk media sosial.

Kata beliau, di sebalik kemudahan itu, terdapat segelintir individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan melakukan jenayah penipuan termasuk secara dalam talian. 

“Sindiket penipuan dalam talian juga dilihat semakin kreatif menjalankan pelbagai modus operandi untuk menjerat mangsa hingga mereka mengalami kerugian ratusan ribu ringgit. 

“Berdasarkan statistik, sebanyak 8,997 kes melibatkan kerugian RM58 juta direkodkan dalam tempoh enam bulan tahun oni berbanding sebanyak 5,846 kes pada 2020 dengan kerugian RM41 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) 2021, dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md. Din.

Mengulas lanjut, kata Acryl Sani, sepanjang tempoh itu, ada ramai individu yang menjadi mangsa sindiket penipuan mengalami kerugian kecil namun tidak tampil membuat laporan polis. 

“Ada individu di luar sana yang menjadi mangsa sindiket penipuan namun tidak membuat laporan polis kerana berasakan jumlah kerugian dialami adalah kecil. 

 “Maklumat dari laporan polis yang dibuat dalam setiap kes adalah penting untuk mengemas kini data laman semakmule bagi mengenal pasti sama ada akaun bank berkenaan tulen atau tidak. 

“Justeru, setiap mangsa penipuan perlu tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN