ALOR SETAR: Kira-kira 50,000 peniaga dan penjaja di negeri ini tidak sanggup menaikkan harga makanan, malah rela mengambil keuntungan sedikit walaupun berdepan dengan kenaikan barangan basah terutama sayur-sayuran secara mendadak sejak sebulan lalu.
Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah, Baharudin Mohd. Ali berkata, keadaan tersebut menyebabkan peniaga dan penjaja kecil terbabit mendapat keuntungan sedikit kerana kos menyediakan makanan melambung tinggi.
“Peniaga dan penjaja kecil tidak sanggup menaikkan harga makanan terlalu tinggi kerana tidak mahu pelanggan terbeban dengan harga baharu.
“Pada masa sama, mereka juga tidak mahu kehilangan pelanggan sekiranya menaikkan harga makanan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Baharudin memberitahu, kenaikan harga sayur-sayuran paling ketara apabila meningkat sehingga 100 peratus.
“Sebagai contoh, harga sawi seberat 200 gram sebelum ini dijual pada harga RM1 kini mencecah RM2,” ujarnya.
Malah, katanya, harga telur juga meningkat sehingga 100 peratus seperti harga gred E sebelum ini sepapan dijual RM5 tetapi sekarang meningkat kepada RM10.
Beliau menambah, pihaknya bimbang kenaikan harga barangan itu tidak dapat dikawal dan terus meningkat sehingga membebankan peniaga, penjaja kecil serta pengguna.
“Kerajaan diharap dapat mengawal segera kenaikan harga barangan basah dan barangan keperluan lain yang didapati meningkat terlalu tinggi dan membebankan pengguna,” katanya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan rakyat negara ini perlu berdepan dengan kenaikan harga barang yang dijangka antara 30 hingga 200 peratus menjelang 2022 ekoran fenomena global dan spekulasi peniaga.
Semua barangan keperluan asas dijangka menghadapi kenaikan terutamanya makanan kerana sehingga kini negara masih bergantung kepada aktiviti import untuk menampung keperluan domestik. – UTUSAN ONLINE











