SEREMBAN: Sejumlah RM1,340,000 nilai denda dikenakan terhadap golongan peniaga dan syarikat di Negeri Sembilan atas pelbagai kesalahan sepanjang 10 bulan pertama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, jumlah tersebut menerusi 458 kesalahan yang direkodkan melibatkan kesalahan antaranya di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 38,633 pemeriksaan premis dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan dengan nilai kompaun sebanyak RM209,000 dikeluarkan selain pemeriksaan turut merampas barangan bernilai RM851,177,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2021 peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Sementara itu, menurut beliau, dalam tempoh yang sama, sebanyak 814 jumlah aduan diterima KPDNHEP Negeri Sembilan daripada orang ramai.
“Antara aduan tertinggi melibatkan transaksi dalam talian sebanyak 371, harga sebanyak 129 aduan, perkhidmatan mengelirukan sebanyak 131 aduan selain aduan melibatkan bengkel kenderaan bermotor dan iklan mengelirukan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










